Pendidikan

101 pelajar Perlis sertai bengkel pembinaan jati diri di Pulau Pinang

Seramai 101 orang pelajar tingkatan empat mewakili kesemua 30 buah sekolah menengah di negeri Perlis sedang mengikuti Bengkel Kearah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) Untuk Pelajar Terbaik, Cemerlang dan Pengawas Terpilih Di Negeri Perlis 2024 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang dari 27 hingga 29 Ogos 2024.

Majlis pada hari pertama diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda kedua baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Bengkel yang ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat ini dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Program ini dilaksanakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan pihak YTSP Perlis dan MAIPs terhadap para pelajar terbaik dan cemerlang serta para pengawas terpilih Tingkatan 4 yang berpotensi dipilih sebagai Ketua Murid bagi tahun berikutnya di sekolah masing-masing.

Aktiviti pada hari pertama dimulakan dengan acara riadah suai kenal di tepi pantai lalu diteruskan dengan perkongsian berkenaan Kualiti Kepimpinan berinspirasi dengan penuh bersemangat oleh Datuk Johari lalu diteruskan dengan Kerja Berkumpulan Kepimpinan yang dikendalikan oleh Muhamad Azuan.

Antara objektif perkongsian ini adalah untuk mengaplikasikan kemahiran pembelajaran pelajar dan sahsiah pelajar serta mencungkil bakat kepimpinan dan semangat kerjasama berpasukan terutamanya para pelajar bagi memajukan negeri Perlis pada masa akan datang.

Pengisian bengkel selama 3 hari ini telah juga dipadatkan dengan perbincangan sindiket dan ‘leadership team building’ bagi mencapai objektif utama iaitu melahirkan barisan pemimpin yang akan dapat dilatih dan melahirkan generasi kepimpinan di kalangan anak Perlis yang kompetitif dan unggul.

(Foto : YTSP Perlis)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button