Nasional

“Berilah Saya Peluang Kembalikan Kegemilangan Olahraga Negara,” – Shahidan

Presiden baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim minta diberi peluang mengembalikan kegemilangan sukan olahraga negara dengan fokus utama adalah bagi meraih lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dipilih untuk kembali menerajui KOM bagi penggal 2022/2025 selepas memenangi pemilihan jawatan presiden, di sini, hari ini.

Beliau menang dalam pertandingan satu lawan satu dengan menewaskan penyandang jawatan, Datuk SM Muthu.

Shahidan menang dengan majoriti empat undi selepas meraih 20 undi berbanding 16 diperoleh Muthu menerusi 36 perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Sejurus selepas kemenangannya, Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs) menegaskan ini adalah masanya untuk semua yang berada di bawah KOM bersatu sebagai satu pasukan.

“Saya tiada pasukan khusus, bagi saya adalah penyatuan. Kita mesti kembali kepada tujuan asal iaitu bersatu padu dan atlet sebagai keutamaan supaya KOM mencapai kecemerlangan.

“Kita semua tak menang dan kita semua tak kalah kerana apa yang penting ketika ini adalah kerjasama sebagai satu pasukan.

“Kita harap dapat mencapai kecemerlangan pada Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik kerana ini adalah keutamaan kita,” katanya ketika sidang media selepas pemilihan.

Pada masa sama, Shahidan memberitahu beliau akan memaklumkan hala tuju dan perancangan masa depan KOM selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli jawatankuasa KOM yang baharu minggu depan.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Sementara itu, bagi pemilihan jawatan timbalan presiden menyaksikan ia dimenangi oleh Datuk A Fadzil Bakar selepas menewaskan pencabarnya, Datuk Seri V Pulanthiran.

Kedua-dua calon berkenaan terikat dengan masing-masing meraih 18 undi dan keputusan dibuat menerusi undi pengerusi AGM iaitu Muthu yang memilih Fadzil.

Kerusi naib presiden persatuan itu pula menjadi milik Josephine Kang selepas meraih 35 undi, Sallehudin Satar (31 undi), Syamsul Bani Abdullah (29 undi) dan Datuk Mark William (23 undi).

Keputusan:

Presiden

1. Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (20)

2. Datuk SM Muthu (16)

Timbalan Presiden –

1. Datuk Fadzil A Bakar (18)

2. Datuk Seri V Pulainthiran (18)

Naib Presiden –

1. Datuk Wira Mark Ling (23)

2. Sallehudin Satar (31)

3. Shamsul Bani (29)

4. Datuk R Annamalai (22)

5. Josephine Kang (35)

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button