Ekonomi

Zurich Malaysia tingkatkan usaha untuk tawarkan pelanggan Lebuhraya PLUS ketenangan fikiran

Zurich Malaysia (Zurich) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bekerjasama bagi memperluaskan perlindungan mobiliti jalan raya melalui penawaran perkhidmatan kepada pelanggan Lebuhraya PLUS, dan seterusnya menambah perkhidmatan yang disediakan syarikat konsesi lebuh raya tersebut.

Langkah ini adalah sebahagian daripada inovasi Zurich untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan semasa dalam perjalanan melalui pelan-pelan takaful yang direka khusus.

Produk pertama yang diperkenalkan di bawah kerjasama Zurich dan PLUS ini ialah Z-ProMiles Takaful.

“Z-ProMiles Takaful ditawarkan kepada ahli PLUSMiles (program ganjaran PLUS) yang menyediakan Faedah Akibat Kesulitan, Penginapan Hotel dan Elaun Penggantian Kereta sekiranya pelanggan memerlukan perlindungan tambahan semasa dalam perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS.

“Manfaat ini adalah tambahan kepada manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal akibat kemalangan dan pendapatan hospital akibat kemalangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Shamsul Azman.

Menurut Shamsul, Z-ProMiles Takaful ini mudah diakses dan menyediakan perlindungan semasa dalam perjalanan yang membolehkan pelanggan Lebuhraya PLUS yang juga ahli PLUSMiles untuk memilih pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan dan belanjawan mereka.

Tambah Shamsul, “Setiap nyawa amat berharga. Banyak nyawa dipertaruhkan di jalan raya setiap hari, dan perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan melindungi diri dan orang tersayang selain berhati-hati ketika dalam perjalanan.

“Sebagai pengguna jalan raya, kami memahami kegusaran pelanggan jika berlaku kejadian yang tidak diingini ketika berada di jalan raya.

“Perlindungan kenderaan bermotor adalah pelan jaminan bagi mod pengangkutan kita, tetapi kebanyakan orang tidak dilindungi daripada kejadian yang tidak dijangka seperti apabila berlakunya kerosakan kenderaan di lebuh raya.”

“Zurich komited untuk mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh pengguna jalan raya sebagai
salah satu tanda prihatin kami terhadap pelanggan.

“Melalui kerjasama dengan PLUS, kami boleh memperkenalkan produk takaful ini melalui aplikasi digital yang mudah. Ini membantu memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan apabila menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS.”

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail pula berkata, keselamatan dan keselesaan pelanggan lebuh raya adalah keutamaan PLUS.

“Kami sentiasa berusaha dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan nilai tambah bagi membolehkan perjalanan yang selesa ketika di lebuh raya kami. PLUS berpegang kepada prinsip keselamatan jalan raya 3E kami, iaitu Engineering, Enforcement and Education (Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan).

“Pada masa yang sama, kami sentiasa mencari rakan strategik dan usaha sama bagi membantu meningkatkan nilai kepada pelanggan kami.”

“PLUS memacu keselamatan jalan raya melalui pasukan rondaan lebuh raya kami, PLUSRonda, Pusat Pemantauan Trafik, audit keselamatan jalan raya berkala, serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” tambahnya.

“Kami berbesar hati apabila Zurich Malaysia berkongsi matlamat kami untuk menyediakan lebih
banyak kemudahan kepada pelanggan lebuh raya. Kerjasama ini melengkapkan usaha kami
untuk menjadikan lebuh raya kami lebih selamat dan ianya akan memanfaatkan rakyat Malaysia,”
kata Azman.

Untuk memohon perlindungan Z-ProMiles Takaful, pelanggan Lebuhraya PLUS boleh mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui Aplikasi PLUS atau layari portal https://pluscare.plus.com.my dan sertai pelan perlindungan Z-ProMiles Takaful.

“Perlindungan Z-ProMiles Takaful meliputi kejadian trafik tertentu di lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH),  Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura  (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), dan Jambatan Pulau Pinang,” jelas Shamsul.

“Ini adalah kerjasama pertama kami dengan PLUS. Kami sangat teruja untuk menawarkan lebih banyak produk baharu dan usaha sama lain pada masa depan,” tambahnya. – SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button