Politik

Zuraida tidak hirau tuntutan RM10 juta PKR

BEKAS Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin tidak menghiraukan surat tuntutan berjumlah RM10 juta daripada PKR berikutan tindakannya keluar daripada parti.

Menurut Zuraida, beliau sudah menerima surat tuntutan saman daripada Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung pada Selasa lalu.

Bagaimanapun menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, surat saman yang diterimanya itu tidak memberi apa-apa makna kepada dirinya.

“Saya tidak akan ambil sebarang tindakan, surat itu tidak bermakna,” katanya kepada media selepas merasmikan Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung sebelum ini mengumumkan parti itu telah menghantar surat saman kepada 20 wakil rakyat PKR yang bertindak meninggalkan parti.

Mereka dituntut untuk membayar RM10 juta setiap seorang seperti yang dipersetujui oleh wakil rakyat PKR jika mereka berpaling tadah dan menggunakan kerusi yang diwakili bagi kepentingan peribadi serta bertentangan dengan kepentingan parti.

Pada 25 April 2018 iaitu sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pemimpin kanan parti itu, Datuk Johari Abdul berkata PKR telah memulakan amalan itu sejak 2013 susulan beberapa pemimpin mereka beralih arah selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya kesemua calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima watikah pencalonan telah menandatangani dokumen itu.

“Sekarang wakil-wakil kena fikir dua kali (untuk lompat parti), melainkan kamu ada RM10 juta,” katanya.

Ahli Parlimen yang terlibat ialah Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin dan Ahli Parlimen Parlimen Selangau, Baru Bian.

ADUN yang berkenaan pula ialah Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh). -SM

 

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button