MahkamahNasional

Zuraida tandatangan sukarela bon RM10 juta

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin secara sukarela menandatangani bon  Parti Keadilan Rakyat (PKR), enam tahun lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu adalah syarat yang dikenakan dalam perjanjian ditandatangani oleh calon parti sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 2018.

“Defendan (Zuraida) menandatangani bon tersebut secara sukarela,” Saifuddin berkata demikian dalam penyataan saksi dikemukakan ketika perbicaraan dijalankan secara dalam talian.

PKR menyaman Zuraida RM10 juta dengan mendakwa beliau melanggar kontrak bon apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Saifuddin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada Zuraida selepas bekas Naib Presiden parti itu meninggalkan parti selain mendakwa bon ditandatangani bawah tekanan.

Katanya, Zuraida mempunyai pengetahuan penuh setiap calon parti dikehendaki menandatangani bon itu.

“Tidak pernah pada bila-bila masa beliau mengemukakan sebarang bantahan,” kata Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN).

Memberi keterangan sebagai saksi pertama PKR, Saifuddin berkata, Zuraida mempunyai pengetahuan penuh syarat bon berkenaan kerana ketika itu menjadi Naib Presiden PKR. Zuraida juga merupakan ahli Biro Politik parti, katanya.

“Zuraida menghadiri mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat PKR pada 17 April 2018 untuk membincangkan persediaan berdepan pilihan raya umum.

“Antara perkara dibangkitkan adalah manual untuk calon disediakan Setiausaha Agung parti yang mana diperincikan bahawa calon mesti menandatangani bon sebelum surat watikah calon dikeluarkan untuk bertanding pada pilihan raya,” ujar Saifuddin.

Saifuddin berkata, Zuraida tidak membangkitkan apa jua bantahan dalam mesyuarat biro itu. Sebaliknya, beliau bersetuju keperluan syarat seumpama itu untuk “mengawal tingkah laku calon.”

Kata Saifuddin lagi, nilai RM10 juta itu dikenakan bagi menjaga imej parti yang ditubuhkan pada 1998.

Beliau berkata, PKR secara konsisten meraih sokongan orang ramai sejak PRU10 pada 1999.

“Contohnya, parti dan rakan gabungan membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak selepas PRU12, pada 2008,” katanya.

Saifuddin berkata, bon itu adalah kontrak sah kerana ada “tawaran” daripada PKR dan “penerimaan” oleh Zuraida.

Beliau tidak bersetuju dengan pihak pembelaan kontrak itu melanggar hak Zuraida untuk berpersatuan bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak beliau menyertai Bersatu selepas meninggalkan PKR, Zuraida bertanggungjawab untuk membayar nilai bon itu kepada parti,” katanya.

Saifuddin berkata, pembelotan wakil rakyat dipilih seperti Zuraida yang menyeberang ke Bersatu untuk membentuk gabungan baharu dan kerajaan persekutuan, pada 2020, merupakan ancaman kepada demokrasi berparlimen.

Dalam penyataan tuntutan, PKR berkata, Zuraida menandatangani bon, pada 25 April 2018, mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti seperti termaktub dalam terma dan syarat.

PKR berkata, Zuraida dikehendaki membayar dalam tempoh tujuh hari jika keluar parti, menyertai mana-mana parti politik atau menjadi Ahli Parlimen bebas.

PKR mendakwa, pada 24 Feb 2020, Zuraida mengumumkan keluar parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Beliau kemudian membantu pembentukan gabungan politik baharu, Perikatan Nasional (PN).

Peguam Navpreet Singh mewakili PKR dan Saifuddin, manakala Nizamuddin Hamid mewakili Zuraida. – SM

BACA Zuraida nafi jumpa PM secara berasingan

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button