Politik

Saya ikut jalan saya – Anwar

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan dia memilih untuk mengikut jalan berbeza daripada jalan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian mengenai perkembangan terbaharu hubungan politik antaranya dengan bekas perdana menteri itu.

Dalam wawancara bersama dengan Malaysia Gazzate, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dia tidak dapat menerima perbuatan Dr. Mahathir yang sentiasa mengulangi kenyataan berkaitan konspirasi khianat.

“Saya 2018 dia datang, saya okeylah, lupakanlah dia kata sambung selamatkan negara. Kerana rasa sakit hati, tersinggung, tercuit ada sebagai manusia, tetapi kepentingan negara mengatasi.

“Tapi kalau dok ulang-ulang-ulang konspirasi khianat, itu tak bolehlah. Bagi saya sekarang tak apalah, biar teruskan. Saya jalan ikut jalan saya,” jelas Anwar.

Anwar bagaimanapun tidak menafikan bahawa Dr. Mahathir ada peranan dalam memberikan ruang kepada beliau.

Namun menurut Anwar dia turut memainkan peranan dalam mempertahankan kedudukan Dr. Mahathir ketika krisis UMNO pada 1987.

“Semua orang tahu pada 1987 kalau saya tidak sungguh-sungguh dukung dia, mungkin terguling juga dia masa itu.

“Dia akan kalah dengan Tengku Razaleigh tapi itu masing-masing tanggungjawab dan menyatakan keyakinan kita,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada pemilihan UMNO 33 tahun lalu yang menyaksikan saingan sengit antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden,” kata Anwar.

Anwar turut menyanggah pandangan Dr. Mahathir bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa kedudukan semasa diangkat ke dalam kerajaan.

Katanya, ketika itu beliau sudah menjadi ahli jawatankuasa pertubuhan belia dunia dan juga mempunyai kedudukan dalam Angkatan Belia Islam di dalam dan luar negara selain ada peranan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jadi ada peranan saya di peringkat dunia sudah dikenali, dan diambil saya ucap terima kasih dan memang benar dia bagi ruang. Tapi kalau kata tidak ada apa-apa dari debu dia angkat, kalau begitu tak apalah.

“Itu kenyataan politik,” kata Anwar.

Dr. Mahathir dan Anwar bermusuhan selepas Dr. Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.

persengketaan politik selama 20 tahun reda selepas mereka berdamai beberapa tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14  untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan menang dan menguasai kerajaan hubungan Anwar dan Dr. Mahathir mula panas selepas beberapa pihak dalam PH menggesa Dr. Mahathir untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar dengan segera.

Hubungan politik Dr. Mahathir dan Anwar semakin dingin selepas kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Februari lalu.-SM

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button