Berita

Zulkifli Jalil dilantik Pengarang Kumpulan Berita Harian

BEKAS Timbalan Editor Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Zulkifli Jalil, dilantik sebagai Pengarang Kumpulan (GE) Berita Harian (BH) berkuat kuasa Isnin lalu.

Memetik dari petikan Berita Harian, beliau berpengalaman 30 tahun dalam industri media, Zulkifli, 54, akan memainkan peranan penting dalam kepimpinan serta pengurusan harian BH.

Menurut kenyataan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Bhd (Media Prima), beliau akan melapor kepada Pengarang Urusan Kumpulan (GME) Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh.

Zulkifli merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan Kemanusiaan (Kepujian) dengan pengkhususan dalam Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1994. Sepanjang kerjayanya, beliau berjaya membina reputasi dalam kewartawanan menerusi laporan berita berkualiti, kepimpinan editorial, serta pengurusan projek.

“Beliau telah melaporkan pelbagai berita penting di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk analisis politik serta liputan pilihan raya.

“Selain itu, sumbangannya dalam bidang kewartawanan turut diiktiraf dengan pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI), Anugerah Media oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta lebih 10 anugerah kewartawanan lain,” kata kenyataan itu.

Zulkifli memulakan kerjaya kewartawanannya di Kumpulan Media Karangkraf pada tahun 1994 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada tahun 1996.

Di Utusan Malaysia, beliau memegang beberapa jawatan penting, termasuk Ketua Biro Pulau Pinang (2003), Ketua Biro Putrajaya (2008), dan Editor Tugasan (2011), sebelum dinaikkan pangkat sebagai Editor Eksekutif pada tahun lalu.

Pada Ogos lalu, beliau dilantik sebagai Timbalan Editor Kosmo! dan Kosmo! Ahad, di mana beliau menerajui hala tuju editorial, strategi kandungan, serta operasi bilik berita bagi memastikan standard kewartawanan yang tinggi merentasi pelbagai platform.

Pelantikan Zulkifli di BH diharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan organisasi itu sebagai peneraju dalam penyampaian berita berkualiti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button