Nasional

Tujuh pelajar sambung ambil SPM dalam lokap

KESEMUA tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Tawau yang ditahan reman hari ini bagi siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah sama, masih boleh menduduki peperiksaan SPM di dalam lokap.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin berkata esok Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan berhubung dengan balai polis di mana pelajar itu ditahan reman.

“Pelajar masih boleh menduduki peperiksaan SPM semasa tahanan reman. Kami pun baru dapat maklumat tentang penahanan mereka hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Menurut Mistirine pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi menangani kes itu.

“Kejadian ini amat menyedihkan kerana berlaku dalam kawasan sekolah,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan pengawal keselamatan sekolah agar melaksanakan rondaan dalam kawasan sekolah sepertimana ditetapkan dalam kontrak perkhidmatan bertujuan mengelak kejadian tidak diingini atau seumpamanya berlaku.

Selain itu, katanya pihak pengurusan sekolah juga boleh meningkatkan pencegahan dengan mengunci bilik-bilik yang berisiko untuk disalah guna pelajar.

Beberapa media hari ini melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.– BERNAMA

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button