Hiburan

Siti Nordiana bikin konsert khas buat peminatnya

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sebenarnya banyak merencatkan perancangan yang telah dirancang oleh penyanyi di seluruh dunia.

Malah, untuk tahun ini sahaja, hampir seluruh konsert yang sepatutnya diadakan dibatalkan dan ditunda ke satu tarikh yang belum dapat diputuskan secara rasmi.

Begitu juga perihalnya dengan penyanyi tempatan yang terpaksa membatalkan konsert mereka atau tampil dengan konsert norma baharu iaitu menerusi dalam talian.

Tidak mahu tahun 2020 berlalu dengan sepi, penyanyi, Siti Nordiana akhirnya tampil dengan konsert secara maya yang akan disiarkan secara percuma khusus buat peminatnya.

Sebagai tanda terima kasih dan sayang Siti Nordiana kepada peminat, penyanyi lagu Angkara itu bakal muncul dengan Konsert Virtual Siti Nordiana & Fans pada 25 Disember ini, pukul 9 malam di Facebook Page Siti Nordiana.

Siti Nordiana, 36, atau lebih mesra disapa Nana berkata, konsert secara percuma itu diadakan bagi mengubat rindu peminat yang sudah lama tidak menyaksikan persembahannya secara langsung.

“Saya buat konsert ini untuk berterima kasih kepada peminat yang sudah mengundi saya selama ini. Dalam erti kata lain, ini lebih kepada konsert terima kasih dan tanda kasih sayang pada mereka. Ia percuma saja dan boleh klik di Facebook Page Siti Nordiana.

“Tambahan pula, sejak pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak ada persembahan dibenarkan dan membabitkan penonton, jadi mereka tidak lagi berpeluang datang menonton dan memberikan sokongan.

“Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk buat konsert ini. Walaupun ia diadakan secara normal baharu, sekurang-kurangnya saya dapat menghiburkan mereka secara langsung dalam tempoh yang agak panjang. Kiranya ini hadiah saya buat mereka dan dapat juga mengubat rindu,” katanya.

Menurut Nana, walaupun konsert itu dianggap masih belum mampu memuaskan hati semua peminat, jauh di sudut hatinya dia sentiasa cuba memberikan yang terbaik pada setiap karya yang dihasilkan sama ada dalam nyanyian atau lakonan.

“Saya nak puaskan hati semua peminat, tapi saya tahu tak boleh. Tapi saya harap dapat keluarkan lagu yang menarik, bagus dan beri kesan pada mereka.

“Jadi, apabila mereka terus bersama saya, saya sangat hargai sehingga sanggup habis duit untuk mengundi dan menyokong setiap produk dihasilkan. Hubungan ini yang sangat ‘best’ dengan peminat.

“Paling penting mereka sangat faham saya dan tidak pernah halang saya. Kalau saya buat salah sekali pun, mereka tak akan hentam dan kritik secara terbuka, tapi mereka akan mesej peribadi di DM dan tegur secara baik. Tidak ada sampai tahap nak hina malah jauh sekali nak mengongkong saya,” katanya.

Berkongsi mengenai konsert itu, Nana berkata dia bakal menyanyikan 10 lagu dengan diiringi ‘live band’ dan turut menampilkan seorang penyanyi lelaki untuk berduet

“Konsert ini dijalankan di sebuah studio dan diberikan sedikit sentuhan hiasan. Walaupun tanpa penonton dan secara dalam talian, tapi saya mahu konsert ini dibuat secara ‘proper’ sekali gus memberikan ‘feel’ sebenar menyaksikan konsert.

“Dalam masa sama, persembahan saya diiringi band. Insya Allah, saya akan menyanyikan 10 lagu yang kebanyakannya lagu lama saya. Saya mahu mengembalikan semula memori lama dari awal kemunculan sehingga sekarang.

“Tidak ketinggalan, saya akan berduet dengan penyanyi lelaki untuk menyanyi secara medley lagu-lagu duet saya bersama Allahyarham Achik. Siapa penyanyi berkenaan, kena tunggu dan saksikan konsert saya ini,” katanya.

Menurut Nana, konsert itu turut ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music selepas sesi secara langsung itu berakhir. -SM

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button