Nasional

Jenayah agama di media sosial perlu didakwa di Mahkamah Syariah

LAMAN media sosial semakin disalah guna untuk melakukan jenayah termasuk hal berkaitan agama Islam seperti memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad S.A.W, agama Islam serta institusi raja.

Perbuatan ini sudah semestinya akan mencetuskan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Islam negara ini dan boleh mengeruhkan suasana harmoni antara kaum.

Namun, difahamkan setakat ini belum ada tindakan pendakwaan dibuat di Mahkamah Syariah.

Jenayah agama dalam talian ini ibarat penyakit barah, jika tidak dicantas dikhuatiri akan terus berleluasa.

Sebelum keadaan menjadi parah, sudah tiba masanya peruntukan berkaitan jenayah alam siber, menggunakan media elektronik dimasukkan ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Peguam Syarie Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, jenayah berkaitan agama wajar diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah Syariah supaya perkata ini dapat dibendung atau dikawal agar tidak berleluasa dan dapat memastikan keadilan dapat dicapai berdasarkan perspektif Syariah.

“Jenayah berkaitan agama apatah lagi melibatkan dalam talian perlu dipandang serius berikutan terdapat kes yang dilihat belum diambil tindakan oleh penguatkuasa agama disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Beliau terut menjelaskan antara perbuatan jenayah Syariah dalam talian adalah menghina agama Islam, memuat naik dan turun bahan pornografi, menyebarkan fitnah dan berita palsu, mengaibkan dan memalukan orang serta menipu.

Tambahnya, penghinaan terhadap agama turut dilakukan dengan memuat naik gambar Nabi Muhammad SAW dalam keadaan dipandang hina, mencerca patung-patung agama bukan Islam, menulis komen jelik dengan cara untuk mentertawakan bentuk ibadat dan sebagainya. Menurut Ahmad Jailani, pengguna media sosial boleh kongsi apa-apa sahaja sama ada tulisan, gambar dan video tanpa sebarang proses tapisan dan bahan tersebut dapat diakses oleh pengguna internet seluruh dunia.

Beliau juga berkata, di media sosial juga berlaku penyebaran ajaran sesat atau doktrin yang bertentangan dengan akidah Islam maka pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas dalam hal berkenaan.

“Selain itu, kita juga dihadapkan dengan kandungan secara elektronik yang mengubah dan menokok tambah asas ibadah dalam agama. Tidak ketinggalan juga terdapat banyak status dan komentar dalam media sosial yang dikhuatiri akan membawa perkara yang menyesatkan dan mengkafirkan sesame Islam tanpa bukti yang benar,”. Katanya.

Oleh itu, Ahmad Jailani meminta pihak berkuasa agama negeri memandang serius hal berkenaan dan bertindak lebih proaktif bagi membendung jenayah dalam talian berkaitan agama .

Hal ini kerana belum ada negeri di Malaysia yang meluluskan Enakmen Undang-undang khususnya berkaitan kesalahan secara elektronik. -SM

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button