Rencana

100 hari yang sukar buat Muhyiddin

ulama

SEMALAM Tan Sri Muhyiddin Yassin genap 100 hari dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kekecohan politik paling epik dalam sejarah negara.

Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas 21 bulan memimpin Pakatan Harapan (PH) menenggelamkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sejak merdeka pada tahun 1957.

Dr. Mahathir yang kembali ke tampuk pemerintahan negara buat kali kedua selepas kali pertama selama 22 tahun menjawat jawatan itu, membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan menyebabkan kerajaan PH terbubar dengan sendiri.

Hasrat pemimpin veteran itu adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan iaitu tiada pembangkang dan kabinet dibentuk dibentuk berdasarkan merit kemampuan pemimpin yang dipilih.

Bagaimanapun Muhyiddin bersama UMNO, Pas, serpihan PKR dan Bersatu serta GPS mempunyai idea lain iaitu membentuk pakatan lain dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dan menjadi kerajaan baharu dengan sokongan majoriti ahli parlimen.

Selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 31 Mac lalu dan beliau terus terjun ke dalam kancah politik yang penuh huru-hara dan kacau-bilau. Pada masa yang sama beliau perlu menangani penularan wabak Covid-19 yang pandemik di seluruh dunia.

Hadiah buat beliau yang sangat bermakna semalam adalah negara hampir berjaya memerangi wabak maut itu dan kini dalam fasa pemulihan termasuk keyakinan rakyat serta kebangkitan kembali aktiviti ekonomi yang hampir terhenti dek kerana langkah ketat mengehadkan pergerakan orang ramai bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Pada masa yang sama Muhyiddin berdepan dengan tindakan saman oleh bekas pemimpin Bersatu yang dikepalai oleh Dr. Mahathir sekali lagi.

Kehebatan Muhyiddin adalah beliau membuatkan semua berjalan dengan lancar dan mudah, walaupun hakikatnya tidak ada lagi perdana menteri yang perlu berdepan dengan cabaran begini besar serta getir.

Beliau berdepan dengan maha krisis iaitu krisis penularan wabak, krisis ekonomi dan krisis politik serentak yang perlu ditangani dengan tuntas.

Isyarat yang jelas diberikan bahawa segalanya dilakukan demi rakyat dan majoriti rakyat pula dapat menerima pendekatan yang digunakan kerana telah lama mereka mendamba pemimpin yang prihatin akan masalah rakyat dan bukan berterusan mengherdik rakyat supaya mengikat perut dan dicerca pula sebagai malas.

Apa yang dilakukan oleh Muhyiddin ialah memberi kehidupan yang lebih baik kepada Makcik Kiah dan pada yang sama menunjukkan bagaimana Sugu juga boleh hidup dan memperolehi pendapatan lumayan melalui media sosial dengan hanya sedikit sokongan daripada kerajaan.

Kini Sugu menjadi inspirasi kepada orang ramai bagaimana usaha yang dilakukan membuahkan hasil walaupun tanpa perlu mengharapkan modal yang besar serta bantuan daripada kerajaan semata-mata, tetapi hanya perlu sedikit kreatif sahaja.

Ketika Muhyiddin memotong kek sambutan 100 hari menjadi perdana menteri, para pemimpin PH pula membentuk gabungan PH Plus dan mengisytiharkan mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan dan akan berbuat demikian pada minggu hadapan.

PH Plus ini adalah bergabung dengan Warisan yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal.

Keputusan tergesa-gesa pembangkang ini adalah kerana bimbang apabila mantan ketua menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang dibebaskan daripada 46 tuduhan di mahkamah.

Musa yang mempunyai pengaruh sangat kuat di Sabah dibebaskan ketika sokongan terhadap Shafie semakin menyusut dan ia jelas dilihat pada PRK Kimanis di mana Warisan telah ditolak oleh rakyat dan mereka mahu mengambalikan pemerintahan kepada BN.

Shafie yang menjadi ketua menteri dengan cara mengikut pintu belakang apabila mengangkat sumpah selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Musa pula diheret ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan tidak berasas dan bermotifkan politik. Musa yang jatuh sakit ketika itu bagaimanapun tidak bertindak terburu-buru sebaliknya tetap berdepan dengan segala sistem perundangan yang korup serta penuh dengan campur tangan politik itu dan pada masa yang sama kekal membantu rakyat Sabah yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Pendedahan bagaimana arahan dikeluarkan oleh Dr. Mahathir dan menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng supaya pembekuan akaun taikun hartanah dilepas oleh Tommy Thomas yang menjawat peguam negara, menjelaskan segalanya bagaimana perundangan negara dimanipulasi bagi mendera musuh politik dan pada yang sama menyuci seorang demi seorang pemimpin PH.

Rakyat sebenarnya sudah jelak dengan permainan politik PH dan jika mereka berterusan mendesak untuk kembali memerintah serta mengganggu kelancaran pentadbiran negara, akhir mereka meletakkan Muhyiddin dalam keadaan tiada pilihan selain daripada membubarkan parlimen.

Biarlah rakyat menentukan siapa yang mereka pilih sebagai kerajaan. Apa jua situasinya tahniah kepada Muhyiddin yang menjadi perdana menteri yang prihatin akan masalah rakyat setakat ini.

Teruskan kerja baik itu dan rakyat pastinya akan memberi mandat yang besar kepada beliau jika pilihan raya diadakan nanti. – SM

 

 

 

 

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button