Rencah Hidup

Restoran asam pedas tampung 1,500 pelanggan bakal dibuka di Melaka

MELAKA 18 Jan. – Melaka bakal memahatkan satu lagi tarikan pelancong apabila sebuah restoran asam pedas terbesar boleh memuatkan 1,500 pelanggan pada satu masa bakal dirasmikan pada 15 Februari ini.

Asam Pedas Power Perigi Hang Li Po terletak di Klebang Besar juga bakal mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai sebuah restoran asam pedas terbesar pernah dibuka di negara ini.

Pemiliknya, Firdaus Aziz berkata, restoran itu yang merupakan cawangan keempat dan terbesar dengan keluasan 0.22 hektar.

Menurutnya, restoran itu mempunyai 360 meja dan mampu menampung kira-kira 1,500 pelangan pada satu masa dan dijangka akan menjual 1.5 juta hidangan setahun.

“MBR bakal mengiktiraf Asam Pedas Power Perigi Hang Li Po sebagai restoran asam pedas paling besar dibuka di negara ini.

“Pengiktirafan ini bakal menjadikan asam pedas Melaka terus menjadi tarikan khususnya kepada pelancong domestik yang datang ke negeri ini,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Firdaus berkata, majlis perasmian cawangan keempat miliknya itu bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada malam 15 Februari depan.

Jelasnya, pada majlis tersebut juga MBR akan menyampaikan sijil pengiktirafan Asam Pedas Power Perigi Hang Li Po sebagai restoran asam pedas terbesar di negara ini.

Menurutnya, idea itu tercetus kerana tidak terdapat restoran terbesar asam pedas di negeri ini ataupun di negara ini yang boleh menampung sehingga 1,500 pelanggan pada satu masa.

Beliau berkata, masakan asam pedasnya ada kelainan berbanding cawangan pertama yang dibuka di Bukit Cina yang dulu dikenali sebagai masakan paling pedas.

“Namun kali ini, asam pedas ini akan disediakan dua jenis kuahnya iaitu original serta pedas. Ini kerana ia masih mengekalkan kepedasannya tetapi jika memilih yang original kepedasannya tidak dirasa sepedas yang boleh membakar otak serta boleh dimakan oleh kanak-kanak termasuk pelancong asing,”
ujarnya.

Jelasnya, menu masakannya tetap kekal dengan kaedah pelanggan memilih ikan yang belum dimasak tetapi siap dibersihkan sebelum dimasak asam pedas.

Jelasnya, ikan yang ditawarkan ialah ikan merah, jenahak, pari, senangin, mayong serta telor ikan mayong serta tenggiri.

(Visited 4,141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button