Rencana

Jangan rompak bukan bumiputera untuk majukan bumiputera

SAYA sering memerhati di tempat letak kereta. Kereta-kereta mewah dimiliki oleh anak-anak muda bukan bumiputera. Sementara bumiputera kebanyakan memiliki kereta biasa-biasa.

Kisahnya mudah sahaja, anak-anak muda bukan bumiputera ini merupakan eksekutif muda di syarikat milik mereka atau milik keluarga mereka dan dibayar gaji yang besar.

Sementara anak-anak bumiputera ini orang yang bekerja dan makan gaji di syarikat-syarikat bukan bumiputera yang dibayar gaji kecil dan berboskan bukan bumiputera.

Jadi jangan bercerita tentang pegangan ekuiti, taraf hidup juga sudah jelas berbeza dan jurangnya semakin meluas.

Oleh itu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Dewan Rakyat bahawa pegangan ekuiti bumiputera semakin merosot saya tidak terkejut.

Bumiputera atau lebih khusus Melayu lebih gemar berpolitik dan sanggup menjadi haiwan serta abdi kepada politik, berbanding memikirkan untuk memajukan ekonomi bangsa sendiri.

Orang lain terutama Cina berpolitik ada matlamat, sampai ke satu tahap kepentingan ekenomi kaum sendiri tidak akan dipinggirkan.

Ini bukan bermakna untuk memajukan bumiputera, kerajaan perlu merompak dari bukan bumiputera iaitu menggunakan cukai yang dikutip untuk membantu bumiputera.

Memang bukan bumiputera yang terlibat dalam perniagaan paling banyak membayar cukai berbanding bumiputera yang makan gaji membayar cukai pada kadar yang lebih kecil.

Jadi adalah tidak adil untuk menggunakan wang cukai berkenaan untuk diberi kepada usahawan bumiputera dan akhirnya tidak ke mana juga kerana semua bidang perniagaan dikuasai oleh bukan bumiputera.

Cara yang terbaik adalah dengan membesarkan kek ekonomi agar dapat dimanfaatkan dengan lebih banyak pihak khususnya bagi membantu golongan yang tertinggal iaitu bumiputera.

Pada masa yang golongan bukan bumiputera harus digalak membantu dan bekerjasama dengan bumiputera untuk menjalankan perniagaan.

Kemakmuran yang dinikmati bersama akan mengelak daripada mana-mana dirompak untuk digunakan wang mereka bagi membantu kaum lain.

Dasar kerajaan sekitar 80-an bagi mewujudkan bandar-bandar besar atau urbanisasi telah berjaya membawa orang Melayu khususnya ke bandar bagi mencari pekerjaan.

Wang yang dihantar ke kampung telah berjaya meningkatkan taraf penduduk di luar bandar.

Bagaimanapun ia tidak cukup memajukan ekonomi bumiputera keseluruhan kerana bukan bumiputera telah bergerak dengan lebih pantas dan mahir berniaga.

Syarikat perniagaan keluarga yang dibuka pada tahun 80-an kini sudah menjadi perniagaan besar bagi bukan bumiputera dan sekali gus melahirkan ramai usahawan muda, berbanding bumiputera masih lagi terperangkap dengan makan gaji.

Pada ketika ini syarikat-syarikat bumiputera yang baru ditubuhkan mungkin akan menjadi satu perniagaan keluarga yang besar pada tahun 2050 nanti.

Dasar kronisme dan nepotisme yang diamalkan oleh pemimpin politik juga menyebabkan kek ekonomi hanya dikongsi oleh segelintir yang rapat dengan mereka dan gagal memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Pelbagai dana diumumkan tetapi boleh dilihat sekeliling, entah siapa yang memperolehinya. Ketirisan ini menyebabkan dasar yang dilaksanakan tidak mencapai matlamat sepatutnya.

Anak-anak bumiputera yang lahir dari sekolah perniagaan universiti tempatan dan luar negara sendiri tidak mampu menjalankan perniagaan sendiri, sebaliknya banyak bergantung kepada kontrak atau geran kerajaan semata-mata.

Mereka ini hanya mengkayakan diri sendiri dan keluarga tanpa berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan seperti mereka.

Tinggallah bumiputera kekal sebagai perniaga di pinggir jalan menjual burger, lemang tong, goreng pisang, cakoi dan sebagainya.

Golongan ini jangan dikatakan untuk memiliki aset atau ekuiti, untuk memiliki gerai yang lebih sempurna saja pun tidak mampu.

Golongan bumiputera yang diberi peluang memegang teraju syarikat milik kerajaan atau GLC pula sering memandang hina kepada kaum sendiri yang mereka anggap malas dan tidak berdaya maju.

Mereka ini juga ibarat kacang lupakan kulit. Oleh kerana mereka berpendidikan lebih baik dan diberi peluang, mereka menjadi individu yang mementingkan diri sendiri daripada bangsa dan negara.

Mereka lebih gemar menggaji bukan bumiputera dan membayar gaji yang besar dengan alasan golongan ini lebih cekap berbanding kaum sendiri.

Mereka puas hati melihat bangsa sendiri melukut di tepi gantang dan merempat di negara sendiri.

Mereka sanggup membayar iklan berjuta di akhbar berbahasa Inggeris berbanding akhbar berbahasa Melayu.

Dengan alasan bangsa mereka yang bertutur bahasa Melayu tidak mempunyai kuasa beli.

Bagaimanapun apabila mereka buka stesen minyak dan pelbagai lagi perniagaan pelanggan utama adalah orang Melayu dan bertutur bahasa Melayu.

Begitulah bangsa yang sering dan sentiasa ragu terhadap bangsa sendiri. Bangkitlah bumiputera bersama dengan bukan bumiputera majukan negara ini.

BACA> Azmin lantik Mustapa sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera

 

 

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button