Politik

PRN Johor: Mampukah kehadiran Dr Mahathir cetus kejayaan Pejuang?

JOHOR BAHRU: Selepas hanya mengutus surat-surat terbuka buat pengundi, Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang ke Kluang pada Khamis, bagi membantu kempen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun dinasihatkan doktor mengenai risiko kesihatannya ekoran COVID-19.
Pada usia 97 tahun, Pengerusi Pejuang yang baru pulih daripada sakit ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, hadir makan tengah hari bersama Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina, sebelum menghadiri program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam.
Namun, mampukah kehadiran Dr Mahathir membantu Pejuang untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya yang kali pertama disertainya? Berdasarkan pemerhatian, kedua-dua majlis berkenaan tidaklah menarik perhatian begitu ramai hadirin, namun ia pastinya menyuntik semangat buat jentera parti itu.
Pejuang meletakkan 42 calon di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor ini.
Ketua Pejuanita Muda Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata kehadiran bekas perdana menteri itu, sememangnya menyuntik semangat jentera untuk mengharungi baki kira-kira seminggu tempoh berkempen.
“Selepas kita siarkan secara langsung di laman sosial, kita dapat banyak lagi permintaan di media sosial minta Tun turun di DUN mereka, jadi apabila Tun datang, momentumnya sangat hebat untuk jentera dan rakyat setempat,” katanya kepada Bernama.
Ketika berucap pada majlis berkenaan, Dr Mahathir melahirkan rasa syukur kerana berpeluang hadir ke Johor, dan menyatakan tiada apa yang ingin dilakukannya selain berkhidmat untuk negara dan rakyat, khususnya dalam menghapuskan gejala rasuah serta salah guna kuasa.
Menurut Nurul Ashikin, Pejuang konsisten dalam matlamatnya untuk mewujudkan pentadbiran yang bebas rasuah, selain aspirasi parti itu untuk mengutamakan ekonomi rakyat dan merapatkan jurang ekonomi antara daerah di Johor, serta meraikan bakat anak muda.
“Kita nampak penerimaan rakyat agak positif terhadap Pejuang, insya-Allah tidak mustahil kita akan berjaya membentuk kerajaan,” tambahnya.
Kesungguhan Dr Mahathir dan kebergantungan Pejuang kepada bekas Perdana Menteri itu, boleh dilihat kepada usaha beliau mengutus empat surat terbuka kepada pengundi PRN Johor sehingga kini, berikutan kekangan untuk kerap turun ke Johor.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammed Fauzi Othman berpendapat Dr Mahathir sememangnya dihormati rakan dan lawan selain pemikirannya masih tajam, namun pengaruhnya kini tidak sekuat dahulu terutama dalam isu denyut nadi rakyat dan mengangkat isu rakyat.
Menurutnya Pejuang sebagai parti baharu juga belum cukup dikenali dan tiada ‘track record’, menyukarkan parti itu untuk bersaing dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas mengenai calon atau parti pilihan pengundi, beliau berkata secara umumnya masyarakat Malaysia masih belum mencapai hirarki Keperluan Maslow yang lebih tinggi, dengan menjadikan soal integriti, alam sekitar dan keadilan sosial sebagai keperluan yang mendesak.
“Mereka masih lagi di tahap satu dan dua hirarki Keperluan Maslow, yang masih sibuk dengan soal keperluan asas seperti nafkah hidup, perumahan, bantuan pelajaran, pekerjaan dan sebagainya. Justeru, modal bebas rasuah dan salah guna kuasa ini, rasanya hanya laku kepada masyarakat bandar dan elit sahaja,” tambahnya.
Teori Hirarki Keperluan Maslow yang dikemukakan Abraham Maslow, seorang ahli Psikologi Kemanusiaan menyatakan, individu termotivasi untuk memenuhi keperluan asas sebelum bergerak ke keperluan lain yang lebih maju.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan pengundian awal pada 8 Mac.
— BERNAMA
(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button