Sukan

Zii Jia Tak Sertai RTG: “Atlet Lain Lebih Layak Sekarang”

Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia membuat keputusan mengejutkan apabila memilih untuk tidak menyertai Program Road to Gold (RTG), satu inisiatif kerajaan yang dirangka untuk membantu atlet terbaik negara menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pasukannya, Team LZJ, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan mendalam bersama barisan kejurulatihan serta pihak pengurusan.

“Kami menghargai jemputan rasmi yang diberikan, namun setelah mempertimbangkan banyak aspek — termasuk status kecederaan Zii Jia — kami berpendapat adalah lebih wajar untuk tidak menyertai RTG buat masa ini,” jelas kenyataan tersebut.

Zii Jia kini sedang dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ligamen buku lali yang dialami pada Disember lalu. Keputusan untuk tidak menyertai RTG juga, menurut beliau, adalah untuk memberikan ruang kepada atlet lain yang lebih bersedia secara fizikal dan mental untuk memanfaatkan bantuan yang disediakan.

“Saya percaya program ini harus dimanfaatkan oleh mereka yang berada dalam prestasi terbaik. Saya mahu beri laluan kepada rakan seperjuangan yang lebih memerlukan sokongan pada masa ini,” ujar Zii Jia sebelum ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan bahawa keputusan Zii Jia itu telah dimaklumkan secara rasmi dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG. Katanya, pihak kementerian menghormati keputusan tersebut dan tidak menutup pintu sekiranya pemain itu mahu kembali menyertai RTG di masa hadapan.

“Kami menghormati pendirian Zii Jia, namun RTG akan sentiasa terbuka kepadanya sekiranya beliau berubah fikiran sebelum temasya Olimpik 2028,” kata Hannah.

Setakat ini, seramai 12 hingga 16 atlet elit negara telah disenaraikan dalam RTG dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tujuan latihan, pemulihan, penyertaan kejohanan serta pembangunan prestasi menjelang temasya di Los Angeles.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button