Nasional

Tidak ada hati perut! Empat maut dalam serangan ke atas petugas WHO

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berkata dua serangan di timur Republik Demokratik Congo (DRC) telah menyebabkan empat pekerja pasukan respons Ebola maut manakala lima lagi cedera, lapor agensi berita China Xinhua.

Serangan itu berlaku semalaman di sebuah kem bersama di Biakato Mines dan pejabat penyelaras respons Ebola di Mangina, pekan kecil dalam wilayah Kivu Utara, menurut WHO.

Mangsa yang maut ialah seorang anggota pasukan vaksinasi, dua pemandu dan seorang pegawai polis.

Meskipun tiada petugas WHO terbunuh, seorang daripada mereka cedera.

Kebanyakan mangsa yang cedera adalah dari Kementerian Kesihatan DRC.

“Kami kecewa kerana orang telah mati semasa bertugas kerana mereka berusaha menyelamatkan nyawa orang lain. Dunia telah kehilangan profesional yang berani,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Ebola semakin berkurangan. Kesemua serangan ini akan memberikannya peluang untuk kembali merebak dan akibatnya, lebih ramai orang akan mati.\

“Adalah sesuatu yang tragik untuk menyaksikan kesengsaraan yang tidak sepatutnya berlaku dalam komuniti yang sudah banyak menderita. Kami menggesa semua pihak yang mempunyai peranan agar menghentikan kitaran keganasan ini,” kata Tedros.

Menurut statistik WHO, setakat 19 Nov, sejumlah 3,298 kes Ebola dilaporkan di DRC termasuk 3,180 kes yang disahkan dan 118 kes disyaki.

Daripada jumlah itu, seramai 2,197 orang telah mati.

Meskipun jangkitan itu didapati semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, WHO memberi amaran bahawa situasi kekal berisiko berdasarkan tahap akses ke kawasan jangkitan yang terpencil serta keselamatan dalam kalangan komuniti yang terjejas.

Dalam satu sidang media pada Khamis, Mike Ryan, pengarah eksekutif Bahagian Kecemasan Kesihatan WHO, berkata selepas serangan itu, semua petugas WHO telah dibawa keluar dari Biakato Mines manakala mangsa yang cedera dipindahkan ke Goma, ibu kota wilayah Kivu Utara.

Petugas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lain turut dipindahkan, katanya.

Terdapat sejumlah 386 serangan, tujuh kematian dan 77 mangsa yang cedera pada 2019 dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan Ebola dan infrastruktur di DRC, namun serangan pada Khamis pagi setakat ini adalah yang paling dahsyat, kata Ryan.

Meskipun begitu, WHO telah berikrar untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan DRC dan rakan kongsi lain bagi memastikan keselamatan petugas serta semua pekerja kesihatan lain, dan mencari penyelesaian bagi terus memberi respons serta mengekang penularan Ebola.- BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button