Nasional

Ziarah kubur ibu bapa: Perdana Menteri tidak langgar SOP

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menziarahi kubur ibu bapanya.

Ini kerana peraturan itu tidak ada secara khusus dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata aktiviti ziarah itu tidak membabitkan kumpulan individu yang ramai dan bukan berlaku setiap hari.

“Saya rasa tidak ada isu berbangkit kerana mereka yang hadir memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Sebelum ini memang ada SOP ziarah kubur dikeluarkan MKN, namun ia khusus sempena sambutan Aidiladha dan Aidilfitri kerana dikhuatiri berlaku kehadiran pengunjung yang ramai pada satu-satu masa,” katanya seperti yang dipetik dari BH Online hari ini


Perdana Menteri menziarah pusara bapanya, Allahyarham Yaakob Abdul Rahman dan ibunya, Allahyarhamah Wan Jah Wan Hamat, di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh, pada jam 11.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, tindakan Ahli Parlimen Bera itu mengundang perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk mereka yang mendakwa beliau melanggar SOP.

Rodzi berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu berkenaan dan memutuskan tiada keperluan merangka SOP khusus bagi ziarah kubur.

(Visited 122 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button