
Ziarah Kasih YKM Bawa Sinar Kaamatan Buat Keluarga Terjejas di Sabah
SEMPENA sambutan Pesta Kaamatan, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan tradisi ziarah kasih dengan menyantuni keluarga-keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19, khususnya di negeri Sabah.
Lawatan yang diketuai oleh Pengerusi YKM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima bantuan YKM termasuk mereka yang kehilangan ketua keluarga akibat pandemik.
Antara yang disantuni ialah Puan Arvina Chris Nolvi di Kampung Kilirip, Kinarut, Papar. Seorang suri rumah tanpa pendapatan tetap, beliau membesarkan empat orang anaknya selepas kehilangan suami, Henry Anak Bisara pada 15 Februari 2022 akibat COVID-19.
“Ini adalah amalan dan tradisi yang kami laksanakan pada setiap musim perayaan utama bagi memastikan keluarga di bawah bantuan YKM dapat menyambutnya dengan penuh kegembiraan,” ujar Ismail Sabri.
Menurut beliau, YKM sentiasa berusaha memastikan tiada penerima bantuan yang tertinggal, termasuk mereka yang menetap di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Turut hadir dalam ziarah kasih itu ialah Setiausaha Politik kepada YAB Timbalan Perdana Menteri I merangkap Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Norubit @ Nerubi.
Selepas melawat keluarga Puan Arvina, rombongan YKM turut mengunjungi kediaman Puan Husidah Ahali di Kampung Pomotodon, Inanam. Puan Husidah kini menyara empat anak dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan hasil jualan kuih-muih selepas kehilangan suami kerana COVID-19.
Ziarah turut diteruskan ke Kampung Inanam Laut, melawat Puan Maslinah Abdul Manaf, seorang peniaga dalam talian yang turut kehilangan suami pada 15 Ogos 2021. Beliau kini bergantung kepada hasil jualan atas talian dan bantuan YKM untuk menyara keluarga.
Dalam masa sama, YKM turut menyalurkan bantuan perayaan kepada 14 keluarga Dayak sempena sambutan Hari Gawai.
Dato’ Sri Ismail Sabri turut menyeru orang ramai terutamanya komuniti di kawasan pedalaman untuk membantu menyampaikan maklumat berkaitan bantuan YKM kepada golongan memerlukan.
“Sekiranya terdapat keluarga yang memerlukan, mereka boleh hubungi YKM menerusi emel [email protected] atau talian 03-22027493,” katanya