Rencah Hidup

Apa kesudahan nasib 300 nelayan Pantai Puteri?

MELAKA 23 Jan. – Apa kesudahan nasib 300 nelayan di sepanjang Pantai Puteri. Siapa pihak yang mampu membela nasib mereka?

Sudahlah pampasan yang dijanjikan oleh Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. sejak Mac tahun lalu tidak ditunaikan hingga kini sebagai gantirugi penyambungan tambahan jeti sepanjang 50 meter.

Lebih mengejutkan campurtangan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang mengarahkan pihak terbabit membayar pampasan, juga tidak diambil peduli.

Kini rata-rata nelayan pesisir pantai menggunakan bot kecil makin terhimpit untuk mencari rezeki apabila pihak terbabit mengemukakan cadangan untuk menyambung jeti pelabuhan itu dengan tambahan 750 meter lagi.

Bukan setakat penyambungan jeti malah Bruas Port turut mengemukakan cadangan untuk menambak laut dari Pengkalan Perigi hingga ke pelabuhan itu dengan keluasan 142.26 ekar.

Nelayan yang terbabit dari Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundor, Tanah Merah, Balik Bukit, Kampung Hailam, Lereh dan Klebang.

Baru-baru ini pihak Bruas Port telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi memaklumkan hasrat pihak itu untuk menyambung tambahan jeti berkenaan
sejauh 750 meter lagi.

Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar mewakili nelayan terbabit berkata, jika penyambungan jeti itu dibenarkan ia akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan kerana menghalang laluan pukat hanyut
dan merawai.

Beliau berkata, situasi nelayan persisir pantai dilihat kian terhimpit apabila keluasan untuk menangkap ikan semakin mengecil.

Menurutnya, masalah kapal bersauh di sepanjang laluan nelayan melabuhkan pukat dan rawai dari Pulau Upeh hingga kini belum dapat diselesaikan yang sudah berlarutan beberapa tahun.

“Beginilah nasib kami nelayan di sini ingatkan penyambungan jeti hanya 50 meter tetapi tak sangka Bruas Port mereka mohon tambahan penyambungan 750 meter lagi.

“Sudahlah pampasan yang dijanjikan pihak terbabit ekoran penyambungan 50 meter jeti itu masih belum kita terima sejak Mac tahun lalu mereka mohon pula tambahan sambungan lagi,” ujarnya di sini hari ini.

Aziz berkata, bukan setakat penyambungan jeti, pihak terbabit juga bercadang untuk menambak laut daripada Pengkalan Perigi hingga ke pelabuhan berkenaan melibatkan kawasan seluas 57 hektar atau 142.26 ekar.

Katanya, seluruh nelayan yang terkesan membantah atas cadangan daripada pihak terbabit dan mengharapkan pembelaan daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, nelayan tidak menolak sebarang bentuk pembangunan khususnya di pesisir pantai namun pihak terbabit perlu mengambil kira untung nasib nelayan pesisir pantai serta ruang keluasan untuk menangkap ikan.

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button