fbpx
Nasional

Zakat Fitrah Perlis kekal RM7

Raja Muda Perlis titah kaedah kutipan, agihan diperkemas kekalkan "zon hijau"

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengumumkan kadar zakat fitrah di Perlis bagi tahun ini kekal dengan nilai RM7.

Kadar RM7 berkenaan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Pengumuman tersebut diadakan di Galeri DiRaja Arau pagi tadi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut bertitah bahawa Pengurusan MAIPs telah mengenalpasti beberapa langkah untuk memperkemas kaedah kutipan dan agihan zakat fitrah agar dapat mengekalkan status Perlis sebagai negeri pertama diisytiharkan “zon hijau” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selepas memulakan pelbagai langkah pengawalan penularan wabak COVID-19.

“Perlis telah lama tidak mewajibkan ‘berjabat salam’ ketika proses kutipan zakat fitrah selain tiada lafaz tertentu yang dimestikan. Proses yang mudah dan ringkas ini memungkinkan kutipan dilaksanakan oleh amil dengan menitikberatkan soal keselamatan, penjarakan sosial, memakai pelindung muka dan sebagainya,” jelas baginda lagi.

Selain itu pelaksanaan kutipan melalui pelbagai saluran atas talian akan lebih memudahkan pihak pembayar.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, turut memaklumkan bahawa Pengurusan MAIPs telah memperkemaskan kaedah dan panduan agihan zakat khususnya bantuan zakat fitrah dengan pengagihan yang tidak melibatkan sebarang majlis keramaian dan pertemuan sebaliknya agihan dibuat melalui kaedah ziarah oleh Jawatankuasa Kariah di seluruh Negeri Perlis.

Jelas beliau, selain bertujuan mengelakkan gelombang kedua COVID-19, ianya juga akan memudahkan penerima bantuan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button