Nasional

Zaini Jass dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah baharu

TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, manakala Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu menggantikan Datuk Aidi Ismail yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis dan menyandang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak berkuat kuasa hari ini.

Zaini menggantikan Datuk Omar Mammah, 60, yang akan bersara wajib esok, manakala bekas Setiausaha Polis Malaysia Datuk Mazli Mazlan dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah baharu mengambil alih jawatan Zaini.

Majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Zaini, 57, yang berasal daripada Segamat, Johor, memulakan tugas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1984, dan pernah pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Omar dalam ucapannya di majlis itu berkata sepanjang 30 tahun berkhidmat dalam PDRM, pelbagai onak dan duri telah dilalui dan beliau amat berpuas hati dengan gerak kerja berpasukan anggota dan pegawai yang bertungkus lumus dalam menjaga keamanan negeri.

Beliau berkata hasil kerjasama itu PDRM Sabah berjaya mencapai beberapa kejayaan khususnya dalam membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.

Di KUALA TERENGGANU, majlis serah terima tugas antara Aidi dan Roslee, 58, itu disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Roslee yang juga anak kelahiran Kuala Terengganu dalam ucapannya berkata dari sudut kepolisan, beliau melihat Kontinjen Terengganu telah mantap dalam sudut pengurusan termasuk pencapaian yang baik dalam pelaksanaan penugasan.

“Prestasi ini dapat kita lihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum ini dari sudut penurunan jenayah indeks dan penganjuran serta penugasan keselamatan. Antaranya semasa Terengganu dipilih menjadi tuan rumah acara Equestrian sempena Sukan SEA yang berlangsung di Terengganu International Equestrian Park (TIEP) Lembah Bidong dekat Setiu,” katanya.

Beliau yang sudah berkhidmat 38 tahun bersama PDRM juga berazam untuk terus berusaha dan mempertingkat lagi prestasi semasa kontinjen Terengganu khususnya dalam aspek penurunan jenayah indeks dan aktiviti kepolisan, menggunakan pengalamannya dalam jabatan siasatan jenayah komersil dan jabatan siasatan jenayah. – BERNAMA

(Visited 3,520 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button