Nasional

Zahid tak ada hak tentukan kerjasama PH-BN bentuk kerajaan – Ismail Sabri

TIMBALAN Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) sahaja yang boleh memutuskan sama ada gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu untuk membentuk kerajaan perpaduan Pakatan Harapan, PH-BN.

Ismail berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan biro politik lain tidak mempunyai hak untuk memutuskan perkara itu.

“Presiden dan biro tiada hak. Hanya Majlis Tertinggi BN boleh membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Sri Pacific, hari ini.

Difahamkan mesyuarat mengejut itu diadakan bertujuan membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan kerana tidak ada satu gabungan pun yang dapat memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu tiba untuk mengadakan mesyurat sekitar pukul 10 pagi.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelmarin seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH memenangi 82 kerusi iaitu jumlah terbesar dalam kalangan semua parti termasuk lima kerusi yang dimenangi oleh DAP Sarawak dan satu oleh parti Muda.

PN yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga calon Parlimen Pagoh yang menang pada PRU15 berada di belakang PH dengan 73 kerusi termasuk 22 kerusi yang dimenangi di bawah calon-calon PAS.

BN ketinggalan dengan 30 kerusi. Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 22 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula memperoleh 6 kerusi.

Pegawai Pengawal Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin semalam berkata, Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan bahawa tiada satu pihak pun yang berjaya memperoleh majoriti mudah.

Ahmad Fadil  berkata, Yang di-Pertuan Agong telah mengarahkan semua pemimpin parti politik dan gabungan yang mempunyai bilangan kerusi yang banyak untuk memaklumkan Istana Negara berhubung gabungan mereka dan calon perdana menteri untuk kerajaan baharu pada pukul 2 petang, hari ini. -SM

 

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button