KemalanganNasional

Kerajaan negeri akan bantu Abdul Rahman

KERAJAAN Negeri Johor bersedia membantu remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik beradiknya ekoran kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kisah tragis itu memberi kesan kepadanya.

Apatah lagi ibu bapa kepada Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, iaitu mangsa kemalangan Amir Ruddin Ismail, 46, merupakan imam di sebuah masjid di Kluang manakala Norahimah Noor Muhammad, 43, pula ialah guru agama di sebuah sekolah agama di Felda Kemedak, Segamat.

“Semua pasti mengetahui berita kemalangan lori treler yang mengakibatkan kematian enam sekeluarga pada hari Jumaat, kelmarin.

“Suaminya seorang imam (Amir Ruddin) dan isterinya (Norahimah) seorang guru KAFA… kedua-duanya amat dekat di hati saya sebab mereka adalah kakitangan di bawah portfolio saya.

“Pada masa sama, kita akan bantu anak muda ini (Abdul Rahman) sekiranya ada bantuan yang dapat kita usahakan.

“Semalam kita juga telah serahkan sumbangan tanda berkongsi kesedihan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook.

Semalam, Mohd Fared bersama-sama Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang Selamat Takim telah melawat Abdul Rahman di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa, Muar.

“Kita bacakan tahlil dan doa tadi… semoga roh kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat ALLAH. Amin.

“Masih dalam keadaan terperanjat dia (Abdul Rahman) tetapi dia pemuda yang kuat. Kita doakan dia tabah atas ujian yang sangat besar,” katanya.

Empat adik-beradik Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat kemalangan itu ialah Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. – SM

 

(Visited 69 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button