
Zahid sindir Wan Norashikin ikut suami ‘langkah terbaik ke syurga’
LENGGONG: Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan bekas Adun Kampung Gajah, Wan Norashikin Wan Noordin menyertai PAS mungkin kerana mengikut suaminya yang merupakan pemimpin PAS kawasan Tapah.
Ahmad Zahid berkata, ketika hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Wan Norashikin mengiringi calon BN tetapi seminggu kemudian membuat keputusan meninggalkan gabungan itu.
“Sewaktu penamaan calon, saya bertemu dengan beliau bersama-sama mengiringi calon BN, tetapi seminggu kemudiannya, beliau ikut suami.
“Mungkin itu adalah langkah terbaik untuk beliau menuju ke syurga,” katanya dipetik Bernama.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Wacana Aspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Lenggong.
Semalam Wan Norashikin yang juga bekas ketua wanita Umno Perak menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat.
Wan Norashikin yang hadir berjubah hitam dan berniqab ditemani suaminya, Muhammad Noor Farid Zainal yang juga Setiausaha PAS Kawasan Tapah.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata dia kesal dengan kaedah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang masih menyentuh isu-isu sensitif, termasuk isu kaum, agama, dan institusi Diraja (3R).Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata kempen seharusnya menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan merendah-rendahkan pihak lain.
“Saya melihat momentum kempen mula memuncak, namun saya sangat tidak berkenan dengan kaedah kempen yang dilakukan kerana ia masih menyentuh perkara yang tidak sepatutnya disentuh, seperti masalah peribadi dan isu yang menjadi titik bengik,” katanya mengulas perkembangan kempen PRK DUN Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.