Nasional

Muhyiddin tak takut disiasat dakwaan seleweng RM600 bilion

Sudah jadi Kerajaan, bertindak seperti Kerajaan

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) dan juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak takut disiasat berhubung dakwaan kerajaan pimpinannya sebelum ini yang membelanjakan RM530 bilion.

Muhyiddin berkata, beliau yakin Kementerian Kewangan khususnya Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) mempunyai perincian mengenai perbelanjaan bagi lapan pakej rangsangan yang diperkenalkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin dalam satu kenyataannya berkata, sekiranya terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

Beliau berkata, daripada keseluruhan RM530 billion itu, sebahagian besar adalah berbentuk non-fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan Kerajaan.

“Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 billion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion.

“Pakej yang dilaksanakan juga termasuk jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif lain bertujuan meringankan beban ditanggung oleh individu dan perniagaan.

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Saya sebagai Perdana Menteri ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Muhyiddin berkata, laporan Kementerian Kewangan pada 29 Jun 2021 lalu menunjukkan jumlah suntikan fiskal yang dibelanjakan oleh Kerajaan adalah RM83 billion.

Ia digunakan untuk membeli vaksin Covid-19 sebanyak RM5 bilion dan bantuan kewangan terus untuk rakyat, katanya.

“Ia termasuk subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan lain dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak,” jelas Muhyiddin.

Beliau juga berkata, jika terdapat satu sen daripada jumlah itu dimasukkan ke akaunnya, Jabatan Audit Negara (JAN) akan mengetahui dalam audit tahunannya manakala Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mendedahkannya di Parlimen.

“Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar,” katanya.

Kenyataan Muhyiddin hadir sebagai respons gesaan pihak tertentu untuk menyiasat perbelanjaan kira-kira RM600 bilion ketika pemerintahannya sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil semalam menyokong penuh cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika kerajaan diterajui Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri Ke-9 mengingatkan ahli politik daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO agar berhenti menuding jari demi menutup kelemahan Kerajaan baharu yang belum mempunyai idea untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Awak sudah jadi Kerajaan, bertindak seperti Kerajaan. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan Kerajaan untuk mereka” katanya. – SM

(Visited 350 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button