Politik

Zahid nafi suara dalam audio bersama ‘Anwar’ miliknya

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa rakaman audio yang tular adalah suaranya.

Beliau terkejut dan kecewa dengan penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara dia dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid menegaskan, penularan audio palsu itu merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik. Tindakan itu juga mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,” katanya.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan berkata, beliau percaya lebih banyak lagi permainan keji akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.

Sebagai Presiden UMNO beliau berikrar tidak akan sesekali mencabuli dan membelakangi apa juga ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” kata Ahmad Zahid.

Satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar disebarkan di media sosial.

Dalam audio berdurasi 4 minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu menerusi panggilan telefon.

Suara itu mengatakan sudah 22 tahun dia tidak mengikuti perhimpunan tersebut secara dekat.

“Saya sudah 22 tahun baru saya ‘follow’ Perhimpunan Agung UMNO, I tengok ucapan ‘you’ bagus, ‘you’ ada ‘mention’ MT (Majlis Tertinggi), kemudian ‘end off point’ kita nak ‘finish the game’, tapi kalau ‘you’ dah fikir untuk mandat tu oklah cuma ada kerja sikit dengan MT lah,” katanya.

Sementara itu, suara mirip Ahmad Zahid pula mengatakan bahawa ucapan tersebut hanyalah bersifat taktikal dan mudah dilakukan serta sudah mendapat mandat yang kukuh daripada perwakilan UMNO.

“You tahu siapa cikgu saya kan. Cikgu saya yang mengajar ucapan ini orang saya sedang bercakap inilah,” katanya sambil ketawa bersama.

Suara mirip Anwar berkata, Majlis Pimpinan Pusat PKR turut mendengar ucapan tersebut dan ia penting kepada beliau untuk melakukan perbincangan.

“Cuma orang yang tidak tahu latar belakang tentang DAP dia bimbang lah.. tetapi bila sampai ‘conclusion’ itu jauh lebih baik daripada keputusan MT. Sebelum ini tunggu pilihan raya tetapi ini tidak, pada bila-bila masa,” katanya.

Suara mirip Ahmad Zahid berkata, apabila mandat diberikan kepada presiden maka ia lebih mudah daripada usul.

Antara perkara yang turut dibualkan ialah tentang Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah ditolak oleh perwakilan ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.

Selain itu, suara lelaki mirip Anwar turut menyatakan tentang harapan ada menteri letak jawatan lepas perhimpunan tersebut namun perkara itu tidak berlaku.

“Cuma tak dapat seorang menteri letak jawatan, tidak ada yang berani, hanya yang Perak, Shamsul (Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah), kalau dia boleh (letak jawatan), kalau saya (Shamsul) respect mood perhimpunan, saya orang UMNO, saya patuh.. ambil, tapi tak apalah kita tengok siapa,” katanya.

Perbualan terakhir suara mirip Anwar memberitahu bahawa usaha mereka masih belum berakhir dan mengarahkan individu dipercaya Ahmad Zahid itu untuk melaksanakan mesyuarat tergempar MT.-SM

“Cuma sekarang tak habis lagi tu.. kita ada sikit lagi.. kalau you dapat mengadap maknanya you kena ’emergency’ MT tau, takut nanti you tak boleh jawab macam sekarang,” katanya.

(Visited 931 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button