Uncategorized

UMNO Kedah saran perkenal cukai bekalan air mentah kepada PP

PERGERAKAN Pemuda UMNO Kedah menyarankan Kerajaan Negeri Kedah untuk melobi Kerajaan Persekutuan agar memperkenalkan cukai bekalan air mentah terhadap Pulau Pinang yang mendapat manfaat sumber air dari negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan pergerakan itu, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, pendekatan yang diambil oleh Kedah untuk menuntut bayaran dari Pulau Pinang kerana memperoleh manfaat sumber air dari negeri itu sejak sekian lama sudah tidak lagi berkesan.

Katanya, Pulau Pinang tidak akan mengendahkan tuntutan Kedah atas alasan mereka adalah negeri ‘riparian’ iaitu negeri laluan sungai seperti yang diperuntukan oleh undang-undang antarabangsa.

“Melobi kerajaan pusat agar mengadakan satu peraturan mewajibkan Pulau Pinang membayar sejumlah “cukai bekalan air mentah” adalah lebih realistik dan mempunyai harapan untuk mencapai kejayaan.

“Kerajaan pusat mempunyai kuasa memperkenalkan peraturan pembayaran pampasan berbentuk cukai sedemikian,” kata Syed Mohd Johan Rizal.

Menurut beliau Kerajaan melalui Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai bekalan air, sungai dan terusan melalui Perkara 74 (1) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama artikel 11 (b) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Kedah perlu mengambil peluang pegangan politik yang selari antara kerajaan negeri itu dan Kerajaan Persekutuan ketika ini untuk membuat tuntutan tersebut.

“Ini adalah masa terbaik mengusulkan kewujudkan peraturan sebegitu. Wujudnya peraturan “cukai bekalan air mentah” itu turut menguntungkan negeri lain sekiranya mereka berhadapan situasi sama seperti Kedah dan Pulau Pinang,” kata Syed Mohd Johan Rizal.

Menurutnya, ketika ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperoleh keuntungan berlipat ganda apabila memperoleh sumber air mentah secara percuma, merawat air dan menjual sumber ini untuk kegunaan seluruh rakyat di negeri itu.

Manakala Kedah terpaksa berkorban dengan tidak boleh melakukan pembangunan dan pembalakan di dataran hulu Sungai Muda demi manafaat rakyat Pulau Pinang tanpa apa apa hasil kepada kerajaan negeri.

Isu sumber air Pulau Pinang yang datangnya dari Sungai Muda di Kedah menjadi hangat apabila Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Jaseni Maidinsa, menggesa kerajaan negeri menghentikan hasrat melombong mineral jenis rare element earth di Sik dan Ulu Muda, Baling.

Serentak itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Menurut Muhammad Sanusi, negeri Kedah terpaksa melakukan pengorbanan kos dan ekonomi demi menjaga bekalan air di Sungai Muda untuk kegunaan Pulau Pinang yang tidak langsung memberi sebarang bayaran kepada negeri itu.-SM

 

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button