Belang Bertempat

UMNO masih sandaran orang Melayu, bahkan sebenarnya tonggak Perikatan Nasional

BELANG BERTEMPAT

BEZA UMNO dengan parti-parti politik lain di negara ini, satu ini sahaja – sokongan dan dukungan luar biasa ahli akar umbinya.

Faktor itulah tunjang kekuatan UMNO yang tidak ada pada parti-parti lain di negara ini termasuklah BERSATU.

Belang terpanggil berterus terang hal ini setelah penganalisis Awang Azman Awang Pawi membayangkan UMNO dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional (MN) akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Pandangan Awang Azman kalau `dibaca’, akan merujuk UMNO khususnya (bukan PAS) sebuah parti `katak’ yang `cuba mengaut keuntungan atau laba politik’ dari kerajaan (PN) yang turut dianggotai BERSATU diketuai presidennya yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apatah lagi penganalisis itu menyatakan “beliau percaya parti itu menyasarkan majoriti di Parlimen untuk mendapatkan kembali kuasa yang terlepas pada pilihan raya umum lalu.”

Dalam menyorot hal ini, Belang bukanlah penyokong UMNO atau ahli UMNO. Belang cuma pemerhati bebas.

Apa yang sedikit mengagumkan Belang kepada UMNO seperti yang disebut pada perenggan satu kolum pojok ini adalah kekuatan akar umbi (grassroot) parti Melayu ini.

Pada 12 Mei, iaitu tiga hari selepas tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pucuk pimpinan khususnya Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan secara reda dan sukarela melepaskan tampuk kepimpinan parti. Sikap mengagumkan ini dibuat adalah agar UMNO terus bergerak kehadapan dan tugas presiden dipangku oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid pula tanpa berlengah telah mengambil tindakan serta-merta mengisytiharkan proses pemilihan semula pimpinan parti di semua peringkat dengan menganjurkan semua jawatan ditandingi termasuk jawatan Presiden UMNO – iaitu jawatan yang tidak pernah ditandingi sejak UMNO diharamkan pasca pemilihan 1987 yang dimenangi tipis oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bayangkan, utuh tak utuh akar umbi UMNO ini. Kalah buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum, akar umbi UMNO tidak mengambil masa panjang untuk mengumpulkan kembali kekuatan mereka.

Dalam tempoh singkat 10 hari sahaja selepas tumbang kerajaan, proses pemilihan parti peringkat Cawangan berjalan dalam tempoh 21 hari bermula 19 Mei hingga 10 Jun melibatkan 21,990 cawangan di mana 19,124 cawangan telah bersidang. Iaitu melibatkan lebih 3 juta ahli – satu rekod yang belum pernah dicipta oleh mana-mana parti politik.

Walaupun tumbang kerajaan BN yang ditunjangi UMNO, ahli-ahli UMNO tidak melatah. Semua proses pemilihan berjalan dengan tertib mengikut peraturan – tidak ada tumbuk menumbuk, tidak ada kerusi terbang. Malah ahli UMNO tidak perlu memanggil mana-mana FRU untuk meleraikan, sebagaimana yang terjadi pada pemilihan di sesetengah parti yang lain.

Persidangan peringkat Bahagian pula berlangsung satu hari sahaja secara serentak di seluruh negara pada 30 Jun 2018 melibatkan 191 Bahagian dengan perwakilan berjumlah 177,263 orang terlibat dalam pemilihan Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi. Dengan jumlah-jumlah tersebut, jelaslah walaupun UMNO bukan lagi parti pemerintah waktu itu namun sambutan ahli-ahli parti tetap hangat bagi menyahut seruan perjuangan UMNO.

Demikian juga biarpun diasak dari segenap penjuru dengan politik machiavelli yang mana ‘matlamat menghalalkan cara’ serta tidak kurang juga ‘manifesto’ luar biasa digarap oleh PH yang dari awal dikatakan ‘mengula-gulakan’ rakyat demi undi telah menjadi agenda utama mahu menjatuhkan UMNO dan BN, berkat kegigihan ahli-ahli UMNO, khususnya di akar umbi, UMNO masih mampu memenangi 54 kerusi Parlimen dan 150 kerusi Dewan Undangan Negeri .

Ia menjadikan UMNO kekal sebagai parti terbesar di Parlimen dengan undi popular sebanyak 20.9 peratus atau 2,525,774 undi.

Namun kegagalan UMNO sebagai satu gabungan iaitu iaitu gabungan BN untuk memenangi cukup kerusi menyebabkan BN kehilangan Putrajaya buat pertama kali dalam sejarah.

UMNO bukan sembarangan parti. Jumlah ahli biasa UMNO ialah 3,696,283 dan ahli bergabung UMNO melalui Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), 171,405 dari 1,442 cawangan sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,964 cawangan.

Keahlian UMNO pula terdiri dari 14 suku kaum dan bangsa yang menunjukkan UMNO adalah sebuah parti yang terbuka dan meraikan kepelbagaian kaum dalam rumpun Melayu di negara kita. Selain Melayu (3,159,099 orang), UMNO dianggotai Kadazan-Dusun (150,828 orang),
Bajau (134,525 orang), Bisaya, Suluk, Murut, Idahan, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, Siam, India Muslim, Cina Muslim, orang asli dan Portugis.

Wanita UMNO pula mempunyai tulang belakang 1,443,793 ahli sementara Pergerakan Pemuda ialah 616,011 ahli dan keahlian Pergerakan Puteri berjumlah 374,820 orang.

Seterusnya UMNO tidak mengambil masa panjang untuk memperbaiki parti itu selepas PRU-14. Parti itu bertekad untuk diterima kembali oleh rakyat khususnya orang Melayu.

Walaupun lima kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kecil (PRK) di awal pasca PRU-14 berjaya dipertahankan oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan kerusi Parlimen Sandakan, namun kesepakatan dengan PAS dalam MN membuktikan kemampuan luar biasa sehingga ada ketika menang bergaya.

Sejak PRK Port Dickson yang memihak PH menutup tirai 2018, PH tiba-tiba kalah kesemua lima daripada enam PRK terakhir. Ia direkodkan dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis (kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP).

`Ekonomi perut’ yang benar-benar didambakan oleh rakyat menyumbang kemenangan MN. Rakyat masih terus menuntut teras-teras utama janji-janji PH dalam manifesto PRU-14. Mereka jelak dengan `analisis-analisis’ hutang negara, projek terbengkalai dan `kes-kes naik turun mahkamah’ yang kelihatan tidak diuruskan `rule of law nya dengan baik’.

Jelas, permuafakatan UMNO-PAS suatu formula terbaik ke arah tawaran baharu atau new deal untuk mewujudkan sebuah negara yang aman sejahtera untuk generasi akan datang.

Maka dengan itu ia perlu dipertahankan demi menjamin kelangsungan masa depan rakyat negara ini.

Permuafakatan MN tersebut yang diteruskan kesinambungan itu menerusi Perikatan Nasional harus dilihat sebagai penyelesaian terhadap permasalahan hari ini dalam usaha mewujudkan kedamaian, keharmonian, dan pembelaan nasib rakyat. Ummah dan negara hendaklah diutamakan.

Gagasan MN inilah yang menawarkan pelbagai dasar alternatif, dalam menzahirkan prinsip semak dan imbang, hala tuju yang lebih pragmatik, realistik dan mampan. Muafakat tersebut adalah pilihan utama menggantikan pentadbiran kakistokrasi yang telah mengakibatkan negara menjadi A Failed State.

Kerana itu, bukanlah isu UMNO hanya sebuah `parti katak’ atau `bermotif jahat’ andai kata ramalan Awang Azman ingin disahkan tepat oleh pengkritik Muafakat Nasional (UMNO-PAS) bahawa kononnya BERSATU yang ketika ini mengetuai PN, ‘akan menyaksikan ia ditinggalkan’.

Yang jelas dalam isu ini satu perkara sahaja iaitu UMNO bukanlah sembarangan parti. Bahkan, UMNO kelihatannya masih menjadi sandaran dan harapan orang Melayu.
– SM

(Visited 498 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button