Nasional

Zahid dapat semula pasport

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan permohonan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya pasportnya dikembalikan kepada beliau secara kekal.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak pagi ini.

Presiden Umno itu telah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu awal bulan ini.

Pada 3 Feb lepas, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang dihadapkan ke Mahkamah Rayuan menolak permohonan Zahid, namun membenarkan dokumen itu dikembalikan sementara kepada Zahid bagi membolehkan beliau memohon pasport diplomatik.

Sequerah dalam keputusannya berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang adalah sama di hadapan undang-undang dan tidak boleh ada keistimewaan, orang atau golongan di atas undang-undang.

Pasport Ahli Parlimen Bagan Datuk itu disita oleh mahkamah selepas beliau didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah melibatkan yayasannya, Yayasan Akalbudi.

Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan termasuk 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram, melibatkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, dia didakwa telah menggunakan dana itu untuk membuat pembayaran bagi kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak polis.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda. -SM

BACA JUGA : https://suaramerdeka.com.my/ramai-nak-bertanding-tandanya-demokrasi-umno-semakin-subur-ahmad-zahid/

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button