Ekonomi

YX Precious Metal Bhd ke Pasaran ACE Bursa Malaysia

Public Investment Bank Berhad (PIVB) merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin  Tunggal dan Ejen Peletakan Tunggal kepada YX Precious Metal Bhd (YXPM), pemborong dan pengilang yang mengkhusus dalam barang kemas. Pada 30 Mei 2022,

YXPM melancarkan Prospektusnya berikutan pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) bersempena dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities). YXPM kini merupakan 100% subsidiari milik Tomei Consolidated Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Securities.

Prospektus itu dilancarkan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas YXPM, Tan Sri Azlan Mohd Zainol, Pengarah Urusan YXPM, Ng Sheau Chyn dan Ketua Pegawai Eksekutif PIVB Lee Yo-Hunn, bersama-sama dengan Ahli Lembaga Pengarah YXPM di Hotel One World, Petaling Jaya.

YXPM mensasarkan untuk menjana RM31.26 juta daripada IPO ini bagi membiayai pelan pengembangannya. IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 111.65 juta saham baharu, mewakili 30% daripada modal saham terbitan diperbesarkan YXPM, pada harga terbitan RM0.28 sesaham.

Sebanyak 22.07% daripada RM31.26 juta atau RM6.90 juta diuntukkan bagi pembelian mesin dan kelengkapan baharu selain untuk mempertingkatkan kemudahan operasinya manakala 66.73% atau RM20.86 juta diperuntukkan bagi keperluan modal kerja.


Baki  sebanyak 11.20% atau RM3.50 juta adalah untuk menanggung perbelanjaan penyenaraian ini.

Mengulas mengenai pelancaran IPO tersebut, Cik Ng Sheau Chyn, Pengarah Urusan YXPM berkata, “Pelaksanaan IPO ini akan membolehkan kami untuk mengambil peluang daripada permintaan yang mendadak terhadap barang kemas sejak beberapa tahun lepas tatkala kami akan mengembangkan portfolio produk kami untuk memperkenalkan pelbagai barang kemas lompong ke pasaran. Ini merupakan waktu yang amat tepat bagi kami memandangkan pilihan untuk barang kemas telah berubah kepada barang kemas lompong yang lebih mampu dimiliki dan kini merupakan trend, terutamanya dalam kalangan pengguna muda.”

Ng seterusnya menambah, “Bukan itu sahaja, kami juga akan melaksanakan lebih banyak automasi dalam proses pengilangan kami untuk meningkatkan kecekapan pengoperasian dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manual untuk proses tertentu.”

Lee Yo-Hunn, Ketua Pegawai Eksekutif PIVB berkata, “Sepanjang masa bekerjasama dengan YXPM, saya menyaksikan bagaimana Kumpulan yang diterajui oleh Ng Sheau Chyn semakin berkembang maju ketika beliau merencanakan pertumbuhan masa hadapan syarikat.

“Setelah bekerja selama kira-kira 30 tahun, Ng telah membina asas yang kukuh untuk Kumpulan ini dan memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan perniagaan syarikat itu sehingga hari ini.

“Dengan barisan Lembaga Pengarah berwibawa yang diketuai oleh Tan Sri Azlan Mohd Zainol selaku Pengerusi, kami yakin bahawa YXPM akan terus berkembang dan memberi keputusan yang kukuh kepada semua pemegang sahamnya,” tambah Lee.

Berikutan pelancaran Prospektus YXPM itu, permohonan untuk Terbitan Awam akan dibuka mulai hari ini dan ditutup pada pukul 5.00 petang pada 9 Jun 2022. YXPM dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 23 Jun 2022.

Dengan penyenaraian ke Pasaran ACE itu, YXPM akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM104.20 juta berdasarkan harga terbitan RM0.28 sesaham dan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 372.15 juta saham. – SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button