Nasional

Jadikan kestabilan politik keutamaan di Johor – PM

KESTABILAN politik adalah syarat utama untuk memperlihatkan setiap apa yang dirancang itu boleh direalisasikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di peringkat Persekutuan, politik stabil dan Johor memerlukan kestabilan politik supaya apa yang dirancangkan oleh Menteri Besar, dapat direalisasikan.

 

“Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Hasni Muhammad bahawa kestabilan politik menjadi keutamaan.

“Maka itulah apabila Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan ia bertujuan memudahkan rakyat untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Johor Bahru, Johor, hari ini.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial adalah hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya tiada sesiappun yang tertinggal dan seterusnya, ditangani jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

Ismail Sabri berkata, pandemik Covid-19 telah membawa kesan besar ke atas kehidupan seharian Keluarga Malaysia dan Kerajaan tidak pernah lalai atau alpa dalam menyediakan bantuan dari segi kewangan, sosial mahupun peluang pekerjaan.

“Program Baucar Perlindungan Tenang yang Kerajaan lancarkan adalah bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan seramai 500,000 penerima mendapat manfaat,” ujarnya.

Kata Perdana Menteri lagi, Keluarga Malaysia memerlukan rumah mampu milik dan melalui inisiatif Satu Keluarga Satu Rumah, Kerajaan Persekutuan berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta, menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah berkualiti sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kerajaan sediakan tanah dan institusi kewangan pula bantu dari segi kewangan dan kita menyasarkan 1,563 rumah mampu milik disiapkan di Johor pada tahun ini,” jelas beliau.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan turut komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar dengan melaksanakan inisiatif penyediaan 5G.

Jelasnya, penyediaan 5G bagi kemudahan akses yang lebih pantas dan berkualiti serta dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan internet dalam bangunan bagi membantu komunikasi secara dalam talian.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyentuh tentang memperkasakan perkhidmatan pengangkutan supaya selamat, terjamin dan berkesan selain menjadikan perkhidmatan bas sebagai mode pengangkutan pilihan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) yang dapat memberi manfaat kepada 6.4 juta penumpang setahun.

“Di bawah program SBST, Kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS.

“Sebanyak 128 myBAS kini dilaksanakan di Johor mulai bulan Mac ini dan ia melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu di Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian dengan jajaran perkhidmatan, 1,052 kilometer,” katanya.

Bagi kenderaan persendirian pula, Kerajaan menawarkan subsidi rebat 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk golongan B40, kata Ismail Sabri.

Dalam majlis yang sama, 10 individu menerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia.

Bantuan yang dihulurkan itu adalah bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung. – SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button