Nasional

YTSP komited jayakan kutipan dana Program Transformasi Keindahan dan Keceriaan Kg. Seberang Ramai Kuala Perlis

Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis komited untuk turut serta dalam pelaksanaan menjayakan kutipan dana bagi ‘Program Transformasi Keindahan dan Keceriaan Kg. Seberang Ramai Kuala Perlis’ dalam masa terdekat ini.

Projek tersebut yang diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama dengan pejabat SWCorp Negeri Perlis kini diselaraskan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media yayasan berkenaan selepas berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk Kali Ke-32 yang diadakan secara digital melalui aplikasi ’Google Meet’ dari Bilik Mesyuarat Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Behor Pulai, Kangar pada sabtu.

Fasa pertama inisiatif yang diilhamkan oleh Tuanku Raja Muda dan anakanda sulung baginda iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail hasil daripada keberangkatan baginda ke Korea dan juga Indonesia sebelum ini telah melibatkan 61 buah rumah melalui kaedah ‘Crowd Funding dan CSR’ berjaya dilaksanakan dan mendapat sokongan padu daripada pihak MBSB Bank Berhad, Sissons Paint Malaysia, Yayasan Mohd Khairi, pelbagai jabatan serta agensi Negeri dan juga Persekutuan, individu perseorangan serta seluruh warga masyarakat setempat. Terkini turut menyumbang ialah Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad.

Menurut Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Darus, bagi para penyumbang budiman yang berhasrat untuk turut serta menjayakannya bolehlah menyalurkan sumbangan dalam bentuk tunai atau cek secara terus ke akaun Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (No. Akaun Maybank 009017602825). Turut dimaklumkan bahawa semua sumbangan ikhlas kepada YTSP Perlis tersebut akan diberikan pengecualian cukai melalui resit yang akan pihak YTSP Perlis sediakan (No. Rujukan: JHDN01/35/42/51/179-6/3362 bertarikh 8 Mei 1986).

(Visited 430 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button