Nasional

YSIJ buka peluang kedua kepada rakyat Johor miliki rumah impian Bangsa Johor

Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan memberi peluang kedua kepada rakyat Johor, untuk memohon projek Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) yang dijalankan di Bandar Dato’Onn dan Bandar Baru Majidee, di sini.

Permohonan baharu akan dibuka bermula esok, oleh itu orang ramai yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan, diminta agar merebut peluang keemasan ini dengan mendaftar di Sistem Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (SRIBJ) menerusi laman web rasmi YSIJ; sijf.my.

Ini penting bagi membolehkan pemohon mengemaskinikan rekod masing-masing untuk semakan kelayakan, kata yayasan berkenaan dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

“Untuk makluman, syarat dan kriteria pemohon yang ditetapkan adalah seorang warganegara Malaysia berumur 25 tahun ke atas, manakala bagi pasangan yang berkahwin hanya satu permohonan dibenarkan.

“Keutamaan akan diberikan kepada pemohon dan pasangan yang belum memiliki hartanah dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 bagi projek RIBJ di Bandar Dato’ Onn, manakala RM8,000 untuk projek di Bandar Baru Majidee,” kata yayasan itu.

YSIJ berkata RIBJ dilancarkan pada 22 Mac 2017 bagi menzahirkan hasrat dan aspirasi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, dalam memastikan setiap lapisan rakyat Johor memiliki rumah impian sendiri, di kawasan yang sempurna serta selesa pada harga mampu milik.

Projek RIBJ melibatkan pembinaan sebanyak 808 unit kediaman, dengan 320 unit daripadanya dibina di Bandar Baru Majidee dan 488 unit lagi dibangunkan di Bandar Dato’ Onn.

Dijual dengan harga antara RM85,000 hingga RM150,000 seunit, kedua-dua projek dijangka siap masing-masing pada Januari 2020 (bagi Bandar Baru Majidee) dan Ogos 2020 (bagi Bandar Dato’ Onn).

— BERNAMA

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button