Hiburan

Yonnyboii cerita kisah sebenar dirinya dalam album terbaharu

WALAUPUN pada awalnya ada yang tidak bersetuju dengan gaya nyanyian dan persembahan Yonnyboii, itu tidak menghalang penyanyi ini untuk terus mengekalkan dirinya dalam industri seni.

Selepas satu persatu lagunya mendapat perhatian, Yonnyboii kini tampil dengan sebuah album baharu, perkara yang jarang dibuat penyanyi baru sekarang.

“Menerusi album E.P ini saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri saya sebenar dengan menyatakan kejujuran setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung menerusi lagu-lagu saya sampaikan.

“Apa saya boleh nyatakan, album ini sarat merencanakan warna-warni seni Yonny, bak pelangi.

“Sebuah penceritaan sebelum dan selepas, ibarat rangka yang dibina untuk mengukuhkan pelengkap karya dalam album penuh selepas album E.P.

“Ibaratnya album E.P. Yonny adalah rangka sebelum manakala album penuh bakal terbit nanti pula merupakan binaan selepas yang telah lengkap strukturnya,” katanya.

Mengambil masa kurang empat minggu ketika musim pandemik, sebanyak 80 peratus lagu-lagu dalam album E.P ini merupakan lagu-lagu yang pernah dirakamkan tetapi digubah semula dengan sentuhan penambahbaikan kualiti rakaman luar biasa.

Kemunculan album E.P Yonnyboii menampilkan sisi lain penyanyi kelahiran negeri Perak ini apabila Yonny menggarap elemen cinta dalam lagu ‘Sheenta’, sebuah lagu yang berkisahkan seorang yang sudah angau dan mabuk cinta pada seorang gadis yang telah mencuit hatinya.

“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya. Menerusi lagu Sheenta juga dia mengisytiharkan rasa cinta pada buah hatinya itu dengan penuh rasa ikhlas dan tulus.

“Harapan saya tidaklah terlalu tinggi, saya cuma minta pendengar menghayati sendiri setiap karya terhasil untuk mengenali siapa Yonnyboii.

“Setiap album baik album E.P sekalipun terkandung kisah perjalanan cerita hidup saya diterjemahkan dalam bentuk muzik, tersusun rapi untuk dikongsi secara eksklusif kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong saya,” ujarnya.

Album E.P berjudul ‘Yonny’ mengandungi sembilan buah lagu hebat Yonnyboii diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia. -SM

(Visited 491 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button