fbpx
Politik

Yong Teck Lee satu-satunya wakil Cina dalam DUN Sabah

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menjadi satu-satunya wakil masyrakat Cina dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Beliau antara enam ADUN Lantikan yang mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam majlis yang bermula pada jam 10 pagi tadi.

Sebelum ini timbul persoalan mengenai wakil masyarakat Cina dalam DUN Sabah selepas tiada seorang pun calon Cina dalam parti Gabungan Rakyat Sabah menang pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

Sebelum ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri Sabah akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menurutnya, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.


Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) sebelum itu meminta kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina untuk diletakkan ke dalam Kabinet negeri.

Presidennya, Tan Sri TC Goh berkata, perkara itu wajar dan perlu dilakukan supaya Kabinet negeri mempunyai perwakilan berbilang kaum, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan ke atas masyarakat Cina.

Bagaimanapun beberapa pihak menentang cadangan untuk melantik wakil masyarakat Cina dalam DUN Sabah kerana semula calon Cina dalam GRS kalah pada PRN Sabah.

Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkumi kerjasama PN, BN dan PBS tidak memiliki ADUN mewakili masyarakat Cina selepas semua calonnya kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada PRN itu, GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah di tangan Warisan dan rakan sekutunya.

Antara kerusi majoriti Cina itu ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas) selain calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat.

Semua kerusi majoriti Cina dipertandingkan dalam PRN Sabah kali ini disapu bersih Warisan Plus dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain Yong Teck Lee turut dipilih sebagai ADUN Lantikan adalah Datuk Raimi Unggi (BN), Datuk Amisah Yassi (Bersatu), Jaffari Walliam (PN) dan Dr Aliakbar Gulasan (Pas).

Sabah mempunyai 73 DUN dan 6 ADUN lantikan.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button