Nasional

Yayasan Bank Rakyat salur RM100,000 tingkatkan kemahiran suri rumah

YAYASAN Bank Rakyat terus komited melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Antaranya adalah program Pembangunan Usahawan Industri Kampung dengan kerjasama Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi golongan suri rumah di kawasan luar bandar.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata pihaknya menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi penganjuran kursus jahitan untuk suri rumah selama setahun dan masing-masing akan menerima mesin jahit bernilai RM5,000.

“Peserta perintis ini bukan sahaja mendapat kemahiran jahitan, malah turut berpeluang menduduki peperiksaan akhir Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya dalam kenyataan kepada BERNAMA.

Penolong Naib Canselor MASMED, Prof Dr Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohammad berkata, selain memperkasakan potensi dan personaliti diri peserta, program keusahawanan itu juga akan mendedahkan peserta dengan pengalaman bekerja secara berkumpulan.

Katanya pelaksanaan program itu diharapkan dapat membuka peluang kepada golongan suri rumah menambah pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga mereka.

Sebelum ini bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) memberikan bantuan awal pengajian bernilai RM1,500 kepada Maizatul Akmal Mahat kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Kuantan itu hidup sebatang kara tanpa keluarga dan hanya bergantung kepada bapa saudaranya yang bekerja mengambil upah sebagai pemotong rumput.

Kisah kesusahan hidupnya itu menjadi tular di laman sosial apabila gurunya, Zawil Faizah Paidi sentiasa mengambil berat mengenai dirinya sehingga mendapat perhatian daripada YBR.

Pihak IBR sentiasa peka mengenal pasti pelajar-pelajar berpotensi bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan sehingga Jun 2020, YBR telah membantu lebih dari 5,399 pelajar dengan keseluruhan jumlah tajaan melebihi RM130 juta. – SM

(Visited 424 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button