Nasional

Yayasan Bank Rakyat bantu pelajar tidak berkemampuan

BAGI membantu pelajar yang kurang berkemampuan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) memberikan bantuan awal pengajian bernilai RM1,500 kepada Maizatul Akmal Mahat kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Kuantan itu hidup sebatang kara tanpa keluarga dan hanya bergantung kepada bapa saudaranya yang bekerja mengambil upah sebagai pemotong rumput.

Kisah kesusahan hidupnya itu menjadi tular di laman sosial apabila gurunya, Zawil Faizah Paidi sentiasa mengambil berat mengenai dirinya sehingga mendapat perhatian daripada YBR.

“Walaupun perlu menghadapi ujian sukar, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus maju ke hadapan. Insya-Allah dengan bantuan guru dan organisasi seperti YBR ini akan menjadikan impian saya menjadi satu kenyataan,” kata Maizatul Akmal dalam satu kenyataan, hari ini.

Maizatul Akmal merupakan antara finalis penerima Biasiswa YBR dan telah terpilih melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata pihaknya sentiasa peka mengenal pasti pelajar-pelajar berpotensi bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan sehingga Jun 2020, YBR telah membantu lebih dari 5,399 pelajar dengan keseluruhan jumlah tajaan melebihi RM130 juta.

“Kesungguhan Maizatul Akmal bagi menggapai impian beliau harus dijadikan contoh dan iktibar oleh semua pihak kerana hanya dengan kesungguhan yang tinggi, kita bakal mencapai apa yang diimpikan.

“Nilai-nilai seperti inilah yang kami terapkan dalam kalangan pelajar tajaan kami yang sehingga kini berjumlah lebih daripada 5,000 orang,” katanya. – BERNAMA

(Visited 422 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button