Nasional

Yayasan Angkasa biaya 199 pelajar IPT

SERAMAI 199 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menerima pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.72 juta.

Penyerahan Surat Tawaran Pembiayaan itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama) dan Lulus Cemerlang Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2024/2025i.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, selaku Pengerusi Yayasan ANGKASA berkata, penerima pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA terdiri daripada pelajar bagi pengajian sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda serta pelajar separuh masa yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, bagi tahun 2024 seramai 60 orang pelajar cemerlang dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menerima biasiswa pendidikan Yayasan ANGKASA berjumlah RM477,390.

“Seramai 24 orang pelajar kelas pertama peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) sesi 2023/2024 telah menerima biasiswa penuh, dan seorang pelajar Anugerah Pelajar Lulus Cemerlang (Kategori Pengajian Jarak Jauh) manakala selebihnya adalah pelajar kelas kedua yang menerima 60 peratus tajaan.”

“Sejak tahun 2000 hingga 2024, seramai 1,898 pelajar telah menerima tajaan, pembiayaan dan biasiswa membabitkan jumlah pembiayaan bernilai lebih RM34.95 juta. ANGKASA berharap pembiayaan ini dapat menyuntik semangat pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh khususnya untuk memperoleh biasiswa penuh,” katanya.

Pada majlis sama, Yayasan ANGKASA juga turut menghargai penyumbang dana Pendidikan Yayasan ANGKASA.

Dr. Abdul Fattah berkata, sumbangan dana Pendidikan Yayasan ANGKASA digunakan 100% untuk pembiayaan boleh ubah dan program-program pembangunan pelajar.

“Yayasan ANGKASA mengalu-alukan sumbungan dana daripada individu, koperasi dan badan korporat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan modal insan dan taraf pendidikan warga Koperasi. Sumbangan boleh disalurkan melalui beberapa kaedah seperti sumbangan individu dan sumbangan daripada koperasi dan badan korporat.

“Semua sumbangan dana kepada Yayasan ANGKASA akan memperolehi pelepasan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44 (6) akta cukai pendapatan 1967,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button