Politik

Kit Siang dakwa dituduh jual masa depan orang Cina Malaysia

PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa beliau dituduh menjual hak dan masa depan orang Cina di Malaysia.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, terdapat kempen media sosial yang mempersoalkan mengapa DAP tidak hanya meletakkan calon Cina di semua kerusi yang dipertandingkan parti itu.

Menurut Kit Siang tidak ada sebarang asas atau kebenaran dalam tuduhan liar tersebut.

“Kini, terdapat kempen media sosial untuk menuduh saya menjual hak dan masa depan orang Cina di Malaysia, yang mempersoalkan mengapa DAP tidak hanya meletakkan calon Cina di semua kerusi yang dipertandingkan DAP.

“Tuduhan terbaru adalah bahawa DAP mahu “menyah-Cinakan” parti ini, dan bahawa DAP tidak boleh “mencairkan identiti Cinanya” untuk meremehkan atau merendahkan dirinya hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Pastinya saya seorang ‘superman’ — dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja dari satu sudut dan sekarang anti-Cina dan anti-bukan Melayu dari sudut lain. Tidak ada sebarang asas atau kebenaran dalam tuduhan liar tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sukarelawan Dewan Undangan Negeri Bandar Utama di Teater Impian, Bukit Jalil baru-baru ini.

Dalam ucapannya itu, Kit Diang berkata, beliau harus menanggung banyak beban dalam mengejar impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah untuk bersatu.

Tuduhan terbaharu kepada dirinya itu merupakan beban baharu yang harus dia tanggung.

“DAP tidak cuba untuk nyah-Cina, nyah-Melayu, nyah-India, nyah-Kadazan, atau nyah-Iban mana-mana orang, tetapi sebaliknya, untuk menerima bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti berbeza tetapi mereka semua pertamanya rakyat Malaysia.

“Dalam mengejar Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah untuk bersatu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia, saya harus menanggung banyak beban, dan inilah beban terbaru yang harus saya tanggung,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, Anggota Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu berkata, DAP tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.

“Kita harus memelihara budaya parti, serta semangat perlembagaan parti, perjuangan politik pluralistik dan demokratik.

“DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina.

“Kamu tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dengan pendekatan ini,” kata Ronnie seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.-SM

 

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button