Ekonomi

Yayasan AirAsia bantu ringankan beban mereka yang memerlukan di era Covid-19

PELAKSANAAN langkah-langkah kuarantin dan penjarakan sosial telah mengubah cara hidup dan bagaimana kita bekerja. Cabang dermawan kami, Yayasan AirAsia turut terkesan dengan situasi ini yang bukan sahaja mengubah cara mereka bekerja, malah mengubah skop kerja mereka.

Yayasan AirAsia ditubuhkan berdasarkan tiga tonggak utama. Pertama, untuk menyokong pertumbuhan perusahaan sosial di ASEAN dengan memberikan dana dan bimbingan. Berikutan sekatan perjalanan pada masa ini, kami terpaksa membatalkan bengkel bimbingan yang telah dirancang. Justeru, kami memberi tumpuan untuk mengembangkan Destination GOOD, cabang komersial kami yang menjual produk perusahaan sosial oleh lebih daripada 50 organisasi.

Menyokong Perusahaan Sosial

Kenyataan gambar: Yayasan AirAsia bekerjasama dengan Batik Boutique untuk menghasilkan PPE dan topeng muka untuk dijual di DestinationGOOD.com

Yayasan AirAsia bekerjasama dengan Batik Boutique untuk menghasilkan PPE dan topeng muka untuk dijual di DestinationGOOD.com

Walaupun butik utama kami di Kuala Lumpur terpaksa ditutup buat sementara waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, platform dalam talian kami di DestinationGOOD.com diteruskan, dan turut diketengahkan di OURSHOP.com, sebuah platform e-dagang yang disokong oleh AirAsia. Dengan memanfaatkan perkhidmatan penghantaran yang semakin meningkat, kami dapat menjual barangan asas penting yang dihasilkan oleh perusahaan sosial, seperti produk makanan, buku kanak-kanak dan produk kebersihan diri.

Keterangan gambar: Kakitangan Batik Boutique menjahit topeng muka untuk dijual di DestinationGOOD.com

Kakitangan Batik Boutique menjahit topeng muka untuk dijual di DestinationGOOD.com

Usaha terkini kami adalah kerjasama dengan Batik Boutique, sebuah perusahaan sosial tempatan untuk membantu memberi pendapatan kepada wanita daripada latar belakang berpendapatan rendah dengan menghasilkan set Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas barisan hadapan. Set eksklusif ini berharga RM25 dan kini tersedia di DestinationGOOD.com di mana orang ramai boleh membelinya sebagai sumbangan kepada kakitangan perubatan di hospital terpilih. Selain set perlindungan buatan tempatan – yang akan turut digunakan oleh AirAsia dalam operasi mereka – Destination GOOD juga menjual produk-produk baharu keluaran Batik Boutique seperti topeng muka batik dan alatan mewarna batik untuk kanak-kanak yang bersekolah di rumah.

Mengumpul Dana Kemanusiaan

Pandemik Covid-19 tidak mengubah strategi digital kami secara keseluruhan, akan tetapi kawalan pergerakan mempercepatkan pelaksanaannya. Selain menumpukan kepada aspek e-dagang, Yayasan AirAsia juga mengubah cara ia membantu mereka yang memerlukan.

Keterangan gambar: Yayasan AirAsia dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak menyalurkan bantuan barangan asas kepada komuniti Orang Asli.

Yayasan AirAsia dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak menyalurkan bantuan barangan asas kepada komuniti Orang Asli.

Sejak 2012, Yayasan AirAsia telah mengumpulkan lebih daripada RM14 juta untuk program  bantuan  pemulihan selepas bencana di ASEAN. Derma ini dikumpul oleh kru kabin AirAsia yang membawa kotak sumbangan dalam penerbangan kami. Semasa tempoh penggantungan penerbangan AirAsia, kami beralih kepada platform digital secara eksklusif di airasiafoundation.com dan di platform perkhidmatan kewangan BigPay.

Melalui sumbangan menerusi kad kredit, pindahan wang dalam talian dan derma awam, kami telah mengumpul dana lebih daripada RM170,000 dalam masa sebulan dari 1 hingga 30 April 2020, yang menyaksikan peningkatan ketara daripada sumbangan dalam talian sebelum ini. Sumbangan melalui platform digital ini juga telah memudahkan saluran kewangan, dan Yayasan AirAsia dapat menyalurkan sumbangan tersebut seminggu selepas menerimanya. Ini membolehkan sumbangan diagihkan lebih cepat untuk meringankan beban mereka yang kehilangan punca pendapatan harian.

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan, kami telah membantu menyumbang keperluan asas kepada lebih daripada 3,000 buah keluarga daripada komuniti Orang Asli dan Orang Asal, keluarga dalam kategori B40, komuniti tanpa tempat tinggal tetap, pekerja asing dan komuniti pelarian, serta individu kurang upaya.

Memperkasa Inisiatif Anti-Pemerdagangan Manusia

Selain itu, pandemik Covid-19 juga telah membolehkan kami memperkasa inisiatif anti-pemerdagangan manusia. Sejak 2017, Yayasan AirAsia telah menganjurkan kelas untuk melatih kru kabin AirAsia mengenali, melaporkan dan merekod kes-kes pemerdagangan manusia di dalam penerbangan kami. Walaupun latihan secara langsung amat berkesan kerana ia melibatkan aktiviti antara peserta, pandemik Covid-19 telah mengubah cara kami menggunakan sumber pembelajaran. Kini, kami beralih sepenuhnya kepada konsep e-pembelajaran. Melalui latihan dalam kelas, kami mempunyai beberapa orang pelatih untuk melatih kru kabin di Kuala Lumpur pada setiap bulan, tetapi menerusi pembelajaran digital, kami dapat melatih kru kabin, juruterbang, kakitangan perkhidmatan pelanggan dan keselamatan di 24 hab di seluruh rangkaian AirAsia .

Secara tidak langsung, langkah ini memberikan kelebihan dari segi sumber kakitangan kami selepas tempoh kuarantin untuk mengembangkan inisiatif anti-pemerdagangan manusia ini ke fasa seterusnya untuk menawarkan maklumat dan bantuan dalam pelbagai bahasa melalui penggunaan bot sembang dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Masih terlalu awal untuk melihat bagaimana kita akan meneruskan kehidupan selepas krisis ini, tetapi daripada perspektif kami, pandemik ini telah menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan skala perniagaan kami. Jadi, kami berharap untuk terus memberikan yang terbaik untuk meringankan beban mereka yang memerlukan pada masa akan datang. – SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button