Sukan

Penganjuran Sukma XX Johor 2020 ditetapkan April 2021

MESYUARAT Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma XX Johor 2020), semalam, telah memutuskan bahawa penganjuran temasya tersebut bakal dilangsungkan pada Mac untuk Para Sukma, manakala Sukma XX diadakan dalam bulan April 2021.
Perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma XX Johor 2020 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.
Reezal berkata, setelah meneliti apa yang dibentangkan oleh pihak Sekretariat Sukma XX Johor 2020, jawatankuasa sebulat suara bersetuju bahawa Para Sukma akan dikelolakan terlebih dahulu iaitu pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan kemudiannya Sukma XX bakal diadakan pada 2 hingga 10 April 2021.
“Keputusan itu turut mengambil kira peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan berlangsung pada 1 hingga 9 Mac dengan 171 atlet bakal terlibat dalam peperiksaan berkenaan.
“Saya dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam menentukan tarikh penganjuran temasya ini secara muktamad pada Disember,” katanya.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan Exco-Exco Belia dan Sukan Negeri dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M Noor Azman Taib; Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli turut serta dalam mesyuarat tersebut.
Sukma XX akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi.
Sebanyak 28 acara sukan akan berlangsung di Johor Bahru, manakala Muar akan menempatkan sukan kanu, angkat berat dan silambam serta Kota Tinggi menjadi gelanggang buat sukan pelayaran dan berbasikal lebuh raya.
Selain medan pendedahan bakat baharu, Sukma juga dilihat menjadi pentas penting buat atlet khususnya dalam memburu tempat bagi mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada.
Sementara itu, sejumlah RM325.9 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri serta turut menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM142 juta.
Antara gelanggang yang dinaik taraf merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wushu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park serta Iskandar Puteri bagi sukan berbasikal MTB. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button