Nasionalpilihan

Yang di-Pertuan Agong, PM ucapan tahiah buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Beregu badminton lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus mendapat ucapan tahniah atas kejayaaan menamatkan badi 45 tahun apabila muncul juara di Kejohanan Dunia BWF Tokyo 2022 berakhir di Di Pusat Gimnasium Metropolitan, Tokyo hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak terkecuali menzahirkan ucapan tahniah kepada Chia-Wooi Yik atas kejayaan menjadi juara buat pertama kali.

Dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook Istana Negara petang tadi, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipeluk jurulatih negara sebaik muncul juara beregu lelaki di Kejohanan Badminton Dunia BWF di Tokyo, Jepun.

“Pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

“Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut hantaran Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia yang berada di ranking keenam dunia itu menewaskan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19, 21-14 pada aksi final edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun, hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini turut mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mencipta sejarah merangkul gelaran dunia.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu merupakan sejarah baharu buat sukan badminton negara dan ia merupakan hadiah yang cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022.

“Satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara. Tahniah Aaron dan Wooi Yik kerana muncul sebagai pemain badminton negara yang pertama memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2022.

“Ini merupakan hadiah yang cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022,” katanya. – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button