Belang Bertempat

Yang Berhormat jagalah adab, respek rakyat, institusi Raja

BERTELINGKAH, bertekak dan ada sebilangannya bersikap kurang adab sehingga rakyat di luar sana melihat Dewan Rakyat tidak ubah seperti pasar basah.

Jagalah adab wahai YB (Yang Berhormat) YB semua. Negara kita kecil sahaja, penduduk pun kira-kira 30 juta. Di negara tetangga kita, Singapura dan Indonesia, Belang tak kedengaran pula dalam setahun dua ini wakil-wakil rakyatnya `hiruk pikuk’ dalam dewan rakyat masing-masing.

Beringatlah sikit, kita semua masih ada institusi raja – yang memerhati tindak tanduk kira. Kita ini YB yang dipilih oleh rakyat. Ikut prinsip demokrasi – dari rakyat untuk rakyat dan oleh rakyat. Apa maksudnya itu? Maknanya, YB YB ini semua juga adalah rakyat biasa sahaja.

Kita mesti terima hakikat bahawa Institusi Raja bukan sahaja perlu dihormati oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Malangnya, ada ketikanya perkembangan semasa memperlihatkan wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, cuba menyanggah kerelevanan dan menggugat Institusi Raja dengan mengambil kesempatan daripada hak dan kebebasan bersuara.

Umpama “hujan jatuh ke pasir”, tindakan ini sangat tidak wajar dan tidak membawa sebarang makna kerana Institusi Raja bukanlah satu institusi yang diada-adakan, tetapi menjadi teras kepada keutuhan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

Pemikiran yang memperleceh dan menolak institusi beraja ini boleh meruntuhkan peradaban negara. Institusi ini merupakan salah satu tonggak tatanegara atau politik sejak zaman berzaman.

Institusi Raja mempunyai peranan yang tersendiri dalam konteks peradaban dan pembangunan masyarakat.

Misalnya, Yang di-Pertuan Agong boleh menyampaikan amanat kepada rakyat tentang pengukuhan negara bangsa dan penyatuan rakyat demi kesejahteraan bersama.

Titah Diraja di Parlimen misalnya, akan menjadi acuan dalam penggubalan dasar nasional, memberikan petunjuk kepada pembangunan ekonomi negara dan merupakan garis panduan dalam penggubalan atau pindaan undang-undang.

Tekad Yang di-Pertuan Agong untuk melihat penyatuan kaum boleh menjadi sumber inspirasi untuk kita terus menjalin dan memperkukuh perpaduan nasional.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sendiri yang mengatasi tembok politik boleh menjadi wahana penyatuan agar rakyat boleh hidup bersama-sama tanpa dibatasi perbezaan dan fahaman politik yang semakin tidak keruan.

Titah baginda sebelum ini harus dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia, apatah lagi YB YB kita di Dewan Rakyat waktu ini:

“Semua pihak agar jangan sekali-kali cuba mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara” – yang perlu dijadikan pedoman, panduan dan peringatan yang jelas dalam konteks “kesatuan dalam kepelbagaian” di negara ini.

Seharusnya sikap “serempun bak serai, sesusun bak sireh” perlu dijadikan amalan kehidupan rakyat jelata.

Titah baginda lagi, “bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman,” meskipun berkias, sarat dengan makna. Ia bahawa akibat buruk yang boleh membawa keruntuhan sebuah negara bangsa akhirnya. Pendek kata, “sama lebur, sama binasa”.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada Institusi Raja di negara ini.

Dalam era demokrasi dan penyertaan politik rakyat yang semakin terbuka, Institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata. Hal ini demikian kerana institusi tersebut sebenarnya boleh memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, memacu pembangunan negara dan memperkukuh peradaban bangsa.

Pada masa yang sama, Institusi Raja juga dillihat boleh menyantuni perubahan semasa agar terus relevan dan dihormati rakyat jelata. Ibarat kata “kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan”.

Istimewanya, keperibadian tinggi dan sikap mesra Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan lambang raja moden yang dekat di hati rakyat jelata.

Kita yakin, sandaran dan harapan rakyat kepada Institusi Raja boleh diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi dengan ketinggian peribadi dan sikap mudah mesra yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berdua ini.

Justeru, seluruh YB YB kita yang berada di Dewan Rakyat ketika ini jagalah adab diri masing-masing.

Berhujahlah dengan fakta dan keperibadian yang baik. Ingatlah mata yang memandang – bukan sahaja rakyat tetapi pandangan institusi raja-raja Melayu. – SM

(Visited 466 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button