Politik

Campuran PAS-UMNO seimbangkan politik negara

PAS sentiasa menonjolkan kewibawaan parti itu dalam pendekatan yang pelbagai mengikut politik Islam, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, dalam politik Islam mempunyai banyak pendekatan yang boleh digunakan untuk memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.

“Ada pendekatan dinamakan tahaluf, kerajaan campuran melibatkan orang Islam dan bukan Islam, ada hubungan dipanggil taawun, bekerjasama dalam perkara yang baik, tidak pada perkara tidak baik.

“Adapun kerajaan campuran, sama-sama kita tanggung baik dan tak baik. Semua pendekatan ini untuk memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, ini sangat penting dan kita tidak larut dalam kerjasama, kita kekal dengan ideologi,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa menjadi panel Pidato Perdana: Bicara Ini Demi Perpaduan, dimoderatorkan oleh Saiful Nizam Ismail yang diadakan di Dewan Karangkraf, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana parti, namun tidak boleh sesekali menyentuh soal dasar parti itu.

“Kita akan keluar parti atau kita dikeluarkan. Kita tidak akan meninggalkan (parti) dengan tidak ada apa sebab.

“Mengapa kita keluar BN pada tahun 70-an kerana pertembungan ideologi dan strategi, kita berpisah (dulu) dan sekarang berpakat dalam Muafakat Nasional,” ujarnya.

Tuan Guru Abdul Hadi mengharapkan kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional akan berpanjangan kerana banyak titik persamaan di antara kedua parti itu.

Menurutnya, pengalaman PAS menjadi pembangkang dan pengalaman Umno pernah menjadi kerajaan akan memberi keseimbangan dalam Muafakat Nasional untuk mentadbir negara di masa akan datang.

“Kita belajar jadi pembangkang dan pernah jadi kerajaan sekejap, Umno lama jadi kerajaan dan jadi pembangkang sekejap.

“Jadi kalau dicampurkan (PAS dan Umno) boleh jadi seimbang,” katanya dituruti tepukan para hadirian sebagai tanda sokongan.

Sementara itu, majlis tersebut berakhir dengan gimik pelancaran buku baharu karangan Presiden PAS yang bertajuk Bicara Ini Demi Perpaduan. – HARAKAHDAILY

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button