Politik

Xavier jumpa pimpinan maklum disiasat SPRM sebelum keluar PKR

AHLI Parlimen Kuala Langat Dr. Xavier Jayakumar yang bertindak keluar PKR hari ini telah bertemu dengan kepimpinan parti itu memaklumkan bahawa beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, bekas Naib Presiden PKR itu turut dihubungi seorang menteri kanan.

“Dr. Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan PKR memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

“Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius,” katanya.

Saifuddin Nasution mendakwa instrumen kerajaan termasuk SPRM sedang diperguna oleh ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional.

Setiausaha Agung PKR bagaimana pun tidak mendedahkan nama menteri kanan yang didakwanya itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin Nasution turut mempersoalkan ketulinan Xavier sebagai seorang reformis selepas beliau bertindak meninggalkan PKR.

Serentak itu Saifuddin Nasution meminta untuk ahli Parlimen PKR yang lain untuk berpegang kepada landangan perjuangan reformasi yang dibawa oleh parti itu.

“Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar – tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya. Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar.

“Saya ulangi gesaan agar semua ahli Parlimen PKR untuk kekal teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan,” tegasnya.

Xavier yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1998 bertindak keluar daripada parti itu selepas kecewa terhadap beberapa peristiwa sejak setahun.

Beliau berkata, pada waktu ini keutamaan perlu diberikan dengan menyokong usaha kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19, mencipta peluang pekerjaan dan membina semula ekonomi negara.

Pada 24 Februari lalu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki mengesahkan siasatan telah dibuka pihaknya terhadap Xavier yang merupakan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Thinagaran.

SPRM sebelum ini turut mengesahkan telah menahan seorang Timbalan Pengerusi sebuah parti politik yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh itu ialah dua pengarah syarikat.

SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi tersebut.

Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.

Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan. -SM

 

(Visited 618 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button