MahkamahNasional

Wujudkan Mahkamah Anti-Rasuah-Rais Yatim

PENGERUSI Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, Mahkamah anti-rasuah perlu diwujudkan bagi meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras jenayah itu.

Beliau berkata, persepsi itu semakin meleset dan langkah penubuhan mahkamah itu dapat membantu kerajaan meraih sokongan dengan membabitkan semua pihak termasuk peringkat eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Katanya, ia antara beberapa cadangan utama yang dibangkitkan dalam laporan tahunan JKMR 2020 yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Ketua Majlis Parlimen.

Rais berkata, cadangan mahkamah itu perlu membabitkan hakim berkepakaran dalam jenayah rasuah yang tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.

Kata Rais lagi, sesi libat urus bersama pihak berkaitan sudah diadakan dan perkara itu turut dibangkitkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara.

Malah, kata Rais, pihaknya akan meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun menubuhkan jawatankuasa bersama bagi membincangkannya.

“Ia akan memberi suasana, kepakaran, ketetapan dan kejituan mahkamah khusus mengenai rasuah.

“Ini berkait langsung dengan kedudukan Malaysia yang semakin menurun, misalnya kita berada di kedudukan 62 di peringkat global dan ia wajar diberi perhatian,” ujarnya.

Jelas Rais, “JKMR sudah mengemukakan syor yang menjadi antara cabaran besar dan mendapat perhatian kerajaan.

“Selain kita akan bawa balik isu ini di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan dan berunding dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menghubungi badan kehakiman.”

Beliau berkata, dalam jawatankuasa itu nanti, kita akan dapatkan butiran yang boleh membantu ke arah mewujudkan mahkamah berkenaan,” katanya.

Rais berkata demikian usai penyerahan laporan tahunan itu di Parlimen, hari ini.

Rais berkata, JKMR turut mencadangkan prosedur dan jaminan penyimpanan barang kes seperti wang tunai dan barang kemas bernilai jutaan ringgit oleh SPRM diurus tadbir dan disimpan oleh Bank Negara atau bank bertauliah bagi mengelakkan ia hilang atau dicuri.

Katanya, ketidakseragaman pakaian lokap berwarna jingga untuk tertuduh kes rasuah turut dibangkitkan dalam laporan itu.

“Laporan tahunan ini turut menyentuh perspektif awam mengenai anti-rasuah yang didapati merosot, membabitkan kurang keyakinan, khasnya disiplin dalaman SPRM, tindakan disiplin ke atas pegawai tertinggi, selain kejituan kuat kuasa anti-rasuah di negara ini,” katanya. – SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button