Ekonomi

Worldwide Holdings lancar loji Hidro Kecil Batang Kali, tanda kemajuan tenaga hijau di Selangor

LOJI Jana Kuasa Hidro Kecil Batang Kali, yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor, telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Loji ini, berkonsepkan landskap semula jadi dan terletak berdekatan dengan sungai, dibangunkan oleh Worldwide Hydro Energy Sdn Bhd, anak syarikat Worldwide Holdings Berhad.

Worldwide Holdings Peneraju Tenaga Boleh Baharu: Loji Hidro Kecil Batang Kali Jadi Penanda Aras

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria, projek ini berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada jadual asal, suatu pencapaian yang amat membanggakan. Loji ini mampu menghasilkan kapasiti tenaga sebanyak 5.1 MW dan dijangka membekalkan tenaga kepada lebih 12,900 isi rumah di kawasan sekitar.

Projek ini telah siap dibina dan disambungkan ke grid 33 kV pada 23 Disember. Selain menyediakan tenaga yang mencukupi untuk kediaman, loji ini turut menyokong usaha pengurangan karbon sebanyak hampir 200,000 tan sepanjang tempoh operasinya selama 21 tahun.

“Kami memanfaatkan lokasi strategik berdekatan dengan sungai untuk membangunkan loji ini. Walaupun berhadapan cabaran seperti kedudukannya yang berhampiran resort, kami memastikan ia direka dengan konsep landskap bagi menyesuaikan keadaan tanah yang tidak rata dan memastikan tiada kesan negatif kepada kawasan sekitar.

“Loji ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 kediaman. Ini membuktikan komitmen dan dedikasi pasukan kami dalam memastikan pembangunan tenaga boleh baharu dapat dilaksanakan dengan efisien demi manfaat semua dan kelestarian alam sekitar.” kata Norazlina ketika ditemui Suara Merdeka di majlis pelancaran tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pula menegaskan bahawa pelancaran loji ini merupakan bukti keupayaan Selangor untuk menjadi peneraju dalam penghasilan tenaga bersih dan hijau.

“Pelancaran loji hidro kecil ini bukan sahaja membuktikan kemampuan kita untuk menghasilkan penyelesaian tenaga yang bersih dan hijau, tetapi juga menunjukkan keupayaan kita untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan inovasi dan kelestarian,” katanya.

Tambahnya lagi  kejayaan projek ini hanyalah permulaan kepada inisiatif yang lebih besar.

“Selangor telah bersedia dan sedang meneroka potensi beberapa sungai lain untuk memperluaskan kapasiti tenaga hidro kecil. Ini akan mengukuhkan kedudukan kita sebagai peneraju tenaga boleh baharu di Malaysia.

Loji ini menggunakan turbin dari jenama terkemuka Eropah, Global Hydro (Austria), dan penjana dari Marelli Motori (Itali). Sementara itu, kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) dilakukan oleh Efforce (M) Sdn Bhd, kontraktor tempatan yang berpengalaman dalam pembinaan loji jana kuasa hidro di Malaysia.

Terletak di atas tanah persendirian yang diperoleh melalui Akta Pengambilan Tanah, loji ini disambungkan ke grid 33 kV yang diuruskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di PMU Ulu Yam sebagai kemudahan pengagihan terdekat.

Pelancaran loji ini menandakan era baharu dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Selangor, dengan fokus pada penyelesaian tenaga yang lebih bersih, mampan, dan mesra alam.

Artikle Berkaitan :>

Worldwide berjaya merangkul anugerah ‘Pembangunan  Bandar Sejahtera Terbaik’

Worldwide antara pemberi sumbagan terbesar pada SAYS

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button