Sukan

Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra diteruskan

Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) 2020 yang telah terpaksa ditangguhkan sejak beberapa bulan yang lalu rentetan daripada kesan wabak pandemik Covid-19 bakal disambung semula bermula pada 12 September 2020 yang akan datang ini.

Kejohanan masuk kali ke-4 sejak tahun 2017 ini merupakan pertandingan woodball terbesar yang melibatkan lebih daripada 50 buah agensi dan jabatan awam di seluruh negeri Perlis.

Akan turut dilaksanakan kembali ialah Piala Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang turut diperkenalkan sejak tahun lalu dimana pasukan-pasukan yang tidak berjaya mara ke pusingan kedua dalam Kejohanan Piala TSFP akan bertanding pula untuk merebut Piala Presiden PWNPs secara serentak dengan Piala TSFP. Ini adalah agar pasukan yang kurang bernasib baik ke peringkat seterusnya tidak patah semangat dan masih dapat terus bermain lagi.


Demikian dimaklumkan oleh Presiden PWNPs, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Ts Hj Kamarudin Hussin selepas selesainya majlis perasmian Gelanggang Woodball Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri, Beseri yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Sementara itu, Timbalan Presiden PWNPs Zaharin Haris menambah bahawa penganjuran kejohanan ini akan tetap dilaksanakan pada tahun ini bagi terus menyemarakkan semangat bersukan antara penjawat awam di negeri Perlis, di samping sebagai persediaan awal untuk negeri Perlis menganjurkan Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-9 yang melibatkan sekurang-kurangnya 25 buah negara bertandang ke sini. Pada asalnya kejohanan tersebut ialah pada bulan lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWF) ke bulan Julai tahun hadapan.

Menurut beliau, dengan mengambil kira aspek keselamatan dan SOP permainan yang dikemaskini mengikut panduan semasa Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia, penganjuran kali ini akan menjadi suatu cabaran yang hebat bagi membiasakan diri untuk bertanding dalam norma baharu.

“Namun itu hanyalah sebagai satu permulaan dalam memastikan semangat dan kemeriahan sukan woodball akan terus menyemarak di bumi Perlis dan juga memastikan pasukan negeri ini bersedia sepenuhnya baik dari segi fizikal maupum mental untuk menganjurkan Kejohanan Woodball Piala Dunia dengan lebih baik lagi”.

Sementara itu Zaidi yang mengilhamkan kewujudan lapangan woodball ke tujuh di Perlis itu memaklumkan bahawa selain menaiktaraf kawasan di penjuru hujung kem berkenaan menjadi lebih terurus dan ceria, gelanggang tersebut juga akan dialu-alukan menjadi satu-satunya yang bakal diguna secara bersama oleh rejimen ini dengan pasukan-pasukan tentera yang lain di negeri ini termasuklah 10 Briged Infantri, 4 Rejimen Renjer DiRaja dan 6 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja(RAJD).

(Visited 128 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button