
Wira FRU Terakhir Dihormati Penuh Istiadat PDRM
SUASANA hiba menyelubungi Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam, di sini awal pagi ini, apabila sembilan jenazah dan jasad anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus–Sungai Lampan, Teluk Intan semalam diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Istiadat kepahlawanan bermula sejurus ketibaan kesemua keranda pada jam 3.13 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, dengan keranda masing-masing diselubungi Jalur Gemilang sebagai tanda penghormatan negara kepada wira yang gugur dalam tugasan.

Sebanyak tujuh daripada sembilan anggota yang beragama Islam disolatkan di Surau Al-Mustakim, dipimpin oleh Ustaz Azrul Zaimi Muhammad Ali. Sebelum itu, jenazah dan jasad mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada jam 12.33 tengah malam setelah selesai proses bedah siasat. Solat jenazah pertama telah dilaksanakan di Surau IPD Hilir Perak.
Lebih 500 individu termasuk ahli keluarga, rakan setugas dan warga PDRM hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada para perwira negara itu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin, yang menzahirkan rasa dukacita dan penghargaan terhadap pengorbanan luar biasa para anggota terbabit.