Alam SekitarBanjirBencana alamRencah Hidup

Pengusaha keropok lekor di Endau terjejas teruk akibat banjir

Banjir menyebabkan pendapatan turun 80 peratus

MUSIBAH yang melanda pada musim tengkujuh kali ini memberi kesan terhadap pengusaha keropok lekor di Endau, Mersing, Abdul Halim Othman, 40.

Beliau mengharapkan agar kerajaan dapat membantu memulihkan kembali perniagaan beliau dan pengusaha lain yang terjejas akibat banjir serta perniagaan yang merosot teruk.

Sebagai pengusaha perusahaan Keropok Lekor Haji Puteh, Abdul Halim berkata, beliau benar-benar mengharapkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian pinjaman bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan pasca banjir.

Katanya, ini kerana sejak banjir melanda kawasan Endau, perusahaan keropok keluarganya yang beroperasi lebih 40 tahun telah kehilangan sehingga 80 peratus pelanggan.

“Selalunya kami mengharapkan pelanggan luar datang ke Mersing untuk membeli produk.

“Tetapi dengan situasi banjir ketika ini, memang tiada apa-apa yang boleh dilakukan apabila hanya 100 batang keropok lekor sehari dapat dijual berbanding 500 batang sehari sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib ketika dihubungi berkata, ekoran kejadian banjir baru-baru ini, laluan untuk masuk ke kawasan Endau yang terkenal dengan produk keropok lekor itu kerap terputus menyebabkan banyak kedai keropok lekor terpaksa ditutup.

“Dua bulan sebelum dilanda banjir, perniagaan keropok lekor di kawasan ini meningkat dan memberi pulangan besar kepada pengusaha keropok lekor.

“Jadi pengusaha berharap penduduk tempatan dan pengunjung boleh kembali membeli produk yang diusahakan mereka, setelah banjir reda,” katanya sambil menambah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah mengambil maklum luahan peniaga itu. – SM

(Visited 456 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button